Penyerang Chelsea, Romelu Lukaku terus membuktikan ketajaman penyudah yang dimilikinya apabila beliau menghadiahkan kemenangan pada pada aksi pembukaan kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2021/22 ketika bertemu Zenit St Petersburg, awal pagi tadi.

Jaringan tunggal yang terhasil pada minit ke-69 itu juga merupakan gol keempat buat Lukaku selepas empat penampilan bersama The Blues sebaik sahaja menyertai kelab tersebut buat kali kedua pada 13 Ogos lalu.

Sebelum ini beliau menjaringkan satu gol ketika penampilan sulung bertemu Arsenal dan kemudiannya meledakkan dua gol ketika pertemuan menentang Aston Villa di Stamford Bridge, minggu lalu.

Keadaan itu jelas membuatkan pengendali pasukan, Thomas Tuchel gembira dengan sumbangan hebat Lukaku dan kehadirannya nyata menjadi jawapan kepada masalah penyudah barisan serangan yang menghantui kelab tersebut.

“Ia merupakan satu tandukan yang luar biasa [jaringan dihasilkan Lukaku], hantaran lintang yang cukup tepat pada masanya dilakukan oleh [Cesar] Azpilicueta.”

“Dia sangat berani untuk melangkah dan kami mempunyai pemain di dalam kawasan penalti,” ujar Tuchel menurut laporan yang dikeluarkan Goal.

“Sebab itulah dia [Romelu Lukaku] berada di sini. Dia gemar untuk menjaringkan gol dan dia penyelesaian masalah buat kami.”

Dalam perkembangan lain, Lukaku mengakui ada peningkatan ditampilkan Chelsea meskipun hanya mampu menewaskan Zenit dengan keputusan 1-0.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Persembahan hari ini lebih baik berbanding perlawanan minggu lalu [menewaskan Aston Villa 3-0]. Kami perlu untuk terus meningkat.”

“Kami tahu bahawa ini akan menjadi satu perlawanan yang sukar tetapi kami mengawal permainan dengan sangat baik,” ujar Lukaku.

Lukaku dan Chelsea akan menghadapi tugas sukar pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu ini apabila bakal berhadapan Tottenham Hotspur di gelanggang lawan.

Teruskan membaca artikel lain yang telah kami sediakan seperti dibawah.

Piala Dunia Futsal: Iran, Jepun Mulakan Kempen Dengan Bergaya

Ketahui Peraturan-Peraturan Asas Dalam Futsal

Piala Dunia Futsal: Brazil, Portugal Beri Pengajaran Berguna Buat Dua Wakil ASEAN

 

Sumber