Isu tunggakan gaji yang dibangkitkan oleh Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) nyata mendapat respon yang pelbagai dari peminat bola sepak tanah air dan badan induk bola sepak negara iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

FAM membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail dimana mereka menganggap PFAM mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan tidak adil kepada pasukan yang bertungkus-lumus untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain.

Baru-baru ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan isu tunggakan gaji tidak akan memberi kesan kepada Peta Hala Tuju F:30 yang telah ditetapkan sebelum ini. Hamidin berkata demikian setelah PFAM menyatakan F:30 tidak mampu terlaksana jika masalah hutang RM6.4 juta berterusan.

Datuk Hamidin Mohd Amin
Sumber Gambar: FAM

Hamidin berkata: Saya di FAM mengikut lunas dan keupayaan bagi menaikkan bola sepak. F:30 ini bersifat global dan (masalah tunggakan gaji) mungkin beri sedikit kesan.

“Tetapi untuk mengatakan sebegitu, ia mungkin terlalu jauh dan mungkin juga dia mahukan populariti.. itu saya tidak pasti. Kalau betul yang dikatakan, datang bantu dan bukan hanya jadi populis,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Hamidin turut menyatakan FAM dan badan pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sedang berusaha untuk membantu menyelesaikan isu tunggakan gaji pasukan bagi memastikan proses perlesenan kelab dibuat secepat mungkin.

Pada masa yang sama, Datuk Hamidin turut mempelawa PFAM untuk menghulurkan bantuan sekiranya mereka mahu memainkan peranan dalam menyelesaikan isu tersebut.