Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berisiko dikenakan hukuman berat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila didakwa belum menyelesaikan isu tunggakan gaji yang melibatkan bekas pemain daripada musim lalu.

Menurut laporan daripada Stadium Astro, difahamkan tunggakan gaji bekas pemain sejak tahun 2018 masih belum dijelaskan termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta cukai pendapatan.

“Pemain-pemain yang masih kekal bersama pasukan berkenaan musim ini mungkin tidak berani untuk bersuara.

“Saya pesan kepada bekas pemain lain supaya bersabar, saya sendiri tidak bersuara sedangkan sudah dua tahun menunggu. Yang menjadi persoalan bagaimana mereka terlepas daripada sebarang hukuman,” kata sumber rapat pasukan itu menerusi panggilan telefon.

gaji1
GAMBAR SEKADAR HIASAN

Malah, PBSNT juga dikatakan telah memungkir janji mereka untuk melunaskan segala hutang kepada pemain dan pegawai mengikut tarikh yang ditetapkan.

“Tunggakan ini membabitkan pemain dan pegawai pasukan bagi musim 2018 lagi dan ada juga musim 2019. Kita tidak bising sebab mengharapkan PBSNT bayar dan mereka janji akan membuat bayaran pada 10 Februari lalu.

“Tapi sekarang sudah lewat beberapa hari dan mereka pun tiada hubungi. Saya juga difahamkan ada pemain import sudah buat laporan ke FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa),” kata sumber daripada Berita Harian

Minggu lalu, FAM memberi amaran keras kepada mana-mana pasukan Liga Malaysia yang mempunyai tunggakan gaji supaya melunaskan hutang mereka sebelum saingan liga bermula.

Pasukan tersebut juga boleh dikenakan hukuman pemotongan mata atau sekatan pembelian pemain sebagai peringatan supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Terengganu FC melalui pautan dibawah.

Syamim Yahya Dakwa Kenyataan Terengganu FC Bercanggah Dan Tidak Tepat

Terengganu FC Perkenalkan Jersi Rasmi Untuk Musim 2020

Kelab Thai League 1 Berminat Ambil Khidmat Pemain Terengganu FC