Isu tunggakan gaji dalam Liga Malaysia sentiasa berlaku setiap tahun seolah-olah tiada penamatnya. Terbaharu, ia kali ini melibatkan seorang pemain import dari Thailand, Naruphon Putsorn.

Bekas pemain Buriram United ini telah membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan Melaka United pada bulan lepas walaupun tinggal beberapa minggu lagi saingan Liga Super kembali bersambung.

Difahamkan, penarikan diri pemain tersebut daripada skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu berpunca daripada masalah tunggakan gaji sehingga menyebabkan beliau membuat aduan rasmi ke Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

Ejennya, Faidauz Azhar mengesahkan perkembangan itu dan badan bola sepak dunia telah memberi maklum balas mengenai kes mereka.

“Segala janji kosong masih berterusan melalui telefon. Surat yang dihantar oleh peguam saya juga tidak dijawab.

“Saya hanya terima gaji pertama pada bulan April, 3 bulan selepas saya tiba di kelab itu,” kata Naruphon dipetik dalam New Straits Times.

Melaka kini tinggal empat pemain import iaitu Romel Morales, Uche Agba, Jang Suk-won dan Sony Norde.

narupon-800×533
Naruphon Putsorn. FOTO: Melaka United

Pemain pertahanan yang berusia 32 tahun itu tidak pernah menghadapi masalah yang sama ketika mewakili kelab lamanya dan beliau banyak mendengar perkara menarik mengenai Liga Malaysia.

“Saya datang ke Malaysia kerana saya dengar macam-macam perkara yang menarik mengenai Liga Malaysia daripada pemain lain.

“Bekas rakan sepasukan, Diogo Santo (JDT), Anawin Jujeen (PJ City FC) dan Mart Hartmann (UiTM FC) tidak pernah menghadapi masalah tunggakan gaji dengan kelab mereka.

“Ini kerana kelab mereka sentiasa mematuhi kontrak yang telah ditandatangani. Bagaimanapun, saya tinggalkan Melaka kerana pengurusan gagal memenuhi bahagian dalam kontrak,” jelasnya.

Baca artikel lain mengenai isu tunggakan gaji dalam Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

FAP Selesaikan Tunggakan Gaji Berjumlah RM12 Juta

TMJ: “Gagal Untuk Membayar Gaji Adalah Kegagalan Paling Besar Seorang Pemimpin.”

Baddrol Bakhtiar Akui Kecewa Dengan Kenyataan Sanusi Mengenai Isu Tunggakan Gaji