Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui Timbalan Presiden, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan isu yang sedang hangat diperkatakan oleh para peminat bola sepak tanahair berikutan pindaan jadual perlawanan unifi Liga Super Malaysia.

“Seperti yang kita lihat, terdapat peminat-peminat bola sepak di media sosial yang tidak berpuas hati dengan pindaan perlawanan keenam dan ketujuh Liga Super 2018 yang sepatutnya berlangsung pada 30 dan 31 Mac serta 3 dan 4 April ke tarikh yang baharu selepas ia diumum oleh FMLLP, malam tadi.”

Menerusi kenyataan itu, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan bahawa pindaan jadual tersebut dilakukan bagi memberikan ruang untuk skuad kebangsaan menghadapi 1 lagi perlawanan antarabangsa A dengan matlamat untuk menaikkan ranking FIFA skuad Harimau Malaya.

“Ingin dinyatakan bahawa penangguhan tersebut adalah disebabkan skuad Harimau Malaya akan menghadapi satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa “A” pada 1 April 2018 dalam usaha kita untuk memperbaiki ranking FIFA.”

Timbalan Presiden FAM itu juga memberitahu bahawa, apa yang dilakukan ini adalah sebahagian dari perancangan yang juga menggambarkan ‘respond’ kepada peminat yang mengkritik tiada perlawanan antarabangsa namun, sebaliknya turut menerima kritikan atas inisiatif ini.

“Apabila kita tiada perlawanan antarabangsa dan ranking kita jatuh, peminat mengkritik teruk. Sekarang apabila kita cari perlawanan tambahan untuk baiki semula ranking pun peminat kritik juga.”

Jadi, apa sebenarnya yang mereka mahu?

Nota:

Disebabkan perlawanan pada 1 April itu berada diluar dari kalendar FIFA yang telah ditetapkan, pasukan liga mempunyai hak untuk tidak melepaskan pemain mereka menyertai pasukan kebangsaan.