Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menghalang usaha Sri Pahang sekiranya pasukan itu mahu menjadikan dua pemain mereka iaitu Lee Tuck dan Sergio Aguero sebagai pemain naturalisasi.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam selepas isu mengenai Tuck dan Aguero menjadi perbincangan ramai pihak.

Program pemain naturalisasi di peringkat pasukan kebangsaan sedang dihentikan sementara selepas pasukan negara gagal untuk melepasi peringkat kumpulan saingan Piala AFF Suzuki 2020 yang berakhir pada awal Januari lalu.

Pemain yang dijadikan naturalisasi iaitu Guilherme De Paula gagal menampilkan prestasi terbaik manakala Mohamadou Sumareh tidak menyertai pasukan kerana masalah peribadi. Liridon Krasniqi pula tidak dipanggil bagi menyertai pasukan.

Bekas pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim mengkritik tindakan sesetengah kelab di Malaysia yang menjadikan pemain import mereka sebagai naturalisasi.

“Cara seperti ini akan membunuh bola sepak Malaysia. Kelab lebih baik membeli pemain import dan setelah lima tahun menjadikan pemain itu sebagai pemain naturalisasi. Mereka tidak perlu susah-susah untuk membuat pembangunan dan pemain tempatan duduk sahaja di bangku simpanan atau bangku VIP di stadium.

“Kalau begini caranya, maka selamat malam bola sepak Malaysia,” kata Lim Teong Kim.

Seorang lagi yang melontarkan kritikan ialah bekas pemain Felda United, Curran Ferns dimana beliau berpendapat ada pemain yang menipu bagi mendapat kerakyatan.

“Untuk mewakili Malaysia dan menjadi warganegara, ianya lebih dari sekadar bola sepak. Bagaimana kita boleh benarkan seseorang yang cuba untuk memanipulasi masyarakat dan menipu kepada semua orang hanya kerana namanya kedengaran seperti orang Asia, hanya untuk memenuhkan poket sendiri.

“Ini adalah penghinaan terbesar dan seperti mendapat tamparan keras di muka. Tunjukkan dokumen anda yang mengatakan anda mempunyai keturunan Malaysia kerana anda telah bercakap kepada media untuk satu masa yang lama.

“Sekarang anda perlu buktikan atau meminta maaf kepada rakyat kerana menipu dan biarkan rakyat untuk menilai sama ada anda layak untuk menjadi warganegara Malaysia atau sebaliknya,” kata Ferns.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Lim Teong Kim: Kalau Begini Caranya, Selamat Malam Bola Sepak Malaysia

Skuad Malaysia B-23 Akan Berlepas Ke Kemboja Dengan Pesawat Khas Harimau Malaya

Zamsaham Sanggup Beli Sistem VAR Untuk Perbaiki Mutu Pengadil