Semalam peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan berita pemain dari Indonesia, Saddil Ramdani tidak dapat pulang ke negaranya kerana ditahan oleh pihak imigresen.

Saddil mendakwa ia ada kaitan dengan kelab lamanya, Pahang FA yang dikatakan gagal membayar cukai pemain asing pada tahun 2019 sehingga tidak dapat perlepasan daripada pihak imigresen untuk pulang ke Indonesia bagi memulihkan kecederaan yang dialaminya.

Bagaimanapun, perkembangan itu turut mendapat perhatian daripada pengurusan Pahang dan mereka mengambil tindakan pantas untuk menyelesaikan isu tersebut. Menurut kenyataan rasmi, CEO Sri Pahang, Datuk Suffian Awang sudah pun bertemu dengan pemain itu dan Saddil kini dibenarkan pulang ke negaranya.

“Berhubung isu imigresen Saddil Ramdani yang sedang tular di laman sosial.

“Pihak kelab ingin memaklumkan bahawa kami sudah berbincang dan melaksanakan perundingan dengan pihak-pihak berkuasa yang berkenaan dan telah mengambil langkah segera menyelesaikan sepenuhnya segala isu yang timbul.

“Pemain itu kini sudah boleh melakukan perjalanan pulang ke Indonesia dan sambil itu kami di pihak kelab turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat pulang dan ribuan terima kasih di atas jasanya kepada pasukan,” tulis kenyataan rasmi.

Sementara itu, Saddil turut mengucapkan terima kasih kepada Datuk Suffian dan pengurusan Pahang yang telah memberi kerjasama kepadanya untuk menyelesaikan masalah berkaitan imigresen.

Beliau yang sudah dilepaskan oleh pasukan Sabah mahu memulihkan tahap kecederaan di Jakarta dan berharap dapat dipanggil menyertai skuad kendalian Shin Tae-yong bagi menghadapi Piala Suzuki AFF hujung tahun ini.

“Alhamdulillah, Saddil sudah berhubung dengan pihak Pahang dan berterima kasih kerana mengambil tindakan pantas untuk menyelesaikan masalah ini.

“InsyaAllah, Saddil akan pulang ke Indonesia untuk mendapatkan rawatan dalam tempoh 2-3 hari ini setelah selesai urusan surat perlepasan dari pihak Pahang FA kerana sudah membayar 50% daripada cukai itu.

“Saddil minta maaf kepada pihak yang terlibat kalau ada silap dan salah serta berterima kasih sekali lagi kepada Pahang FA atas kerjasama yang pantas untuk menyelesaikan isu ini,” tulisnya melalui laman instagram.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

JDT:”Marshall Berdiri Membentuk ‘Human Barricade’, Marshall Diberi Amaran Kerana Menonton Perlawanan.”

Kekurangan Anggota Petugas, Kuching City Tidak Benarkan Penyokong Masuk Di Stadium Larkin

MFL Kini Mempunyai Akaun Rasmi TikTok

Kem Latihan Harimau Malaya Bermula Selepas Tamat Separuh Akhir Piala Malaysia