Sebahagian daripada langkah proaktif yang telah diambil oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada tahun lalu adalah memastikan semua pasukan mengemukakan Deklarasi Berkanun masing-masing iaitu mengisytiharkan sebarang tunggakan hutang, jika ada pada 30 November 2019.

Selepas meneliti Deklarasi Berkanun yang dikemukakan semua pasukan, FAM telah membuat satu ketetapan menerusi surat yang dihantar kepada tiga pasukan iaitu Melaka, PDRM dan Kelantan pada 15 Januari 2020 dengan tempoh masa kira-kira dua minggu diberikan kepada mereka untuk melangsaikan hutang berkenaan atau mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai yang terbabit.

Kegagalan untuk berbuat demikian akan menyebabkan mana-mana pasukan tersebut akan dikenakan hukuman pemotongan tiga mata secara serta merta.

Tempoh masa yang diberikan oleh FAM kepada tiga pasukan berkenaan bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan masing-masing telah pun berakhir pada Jumaat, 31 Januari 2020.

Untuk itu, FAM pada hari ini ingin mengumumkan bahawa Melaka dan Kelantan telah pun berjaya melangsaikan tunggakan gaji atau mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai yang terbabit, sekali gus terlepas hukuman pemotongan mata berkenaan.

Bagaimanapun, PDRM gagal untuk melakukan perkara yang sama, sekali gus FAM dengan ini terpaksa mengumumkan penolakan tiga mata terhadap PDRM apabila bermulanya saingan Liga Super 2020 pada 28 Februari 2020.

FAM akan berkomunikasi dengan Malaysian Football League (MFL) untuk badan penganjur Liga Super itu melaksanakan arahan pemotongan tiga mata tersebut.

Selain itu, seperti mana yang telah pun dinyatakan dalam surat yang sama bertarikh 15 Januari 2020 itu, PDRM akan diberi tempoh tambahan selama empat minggu untuk menyelesaikannya sehingga 28 Februari 2020.

Jika masih gagal, PDRM akan dikenakan hukuman seterusnya iaitu pemotongan enam lagi mata.

Justeru FAM berharap PDRM akan mengambil serius untuk berusaha menyelesaikan perkara ini mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan itu.

Dalam pada itu, FAM ingin memuji usaha dan kesungguhan yang telah pun dilakukan oleh Kelantan dan Melaka dalam tempoh dua minggu diberikan untuk mereka menyelesaikan tunggakan gaji atau pun persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai yang terbabit.

Sebagai contoh, Melaka pada awalnya mempunyai tunggakan gaji berjumlah RM2.7 juta tetapi dalam tempoh berkenaan berjaya membayar sebanyak RM2.1 juta dan membuat persetujuan pelan penyelesaian bagi baki yang masih tertunggak.

Kelantan pula, daripada jumlah awal tunggakan gaji berjumlah RM1.6 juta, mereka telah berjaya membayar sebanyak RM1 juta dan membuat persetujuan pelan penyelesaian bagi baki yang masih tertunggak.

FAM akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan pasukan-pasukan ini mengikuti pelan penyelesaian baki tunggakan gaji seperti yang telah dipersetujui bersama pemain dan pegawai.

Bagaimanapun, ingin dijelaskan di sini bahawa ia tidak termasuk kes-kes yang telah dilaporkan dan akan diputuskan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mana amaun penuh bayaran dan hukuman akan ditetapkan oleh FIFA.

FIFA juga berhak untuk menetapkan sebarang hukuman andai pasukan gagal menyelesaikan bayaran tunggakan mengikut jumlah dan tempoh yang ditetapkan.

Selain itu, Kelantan turut mempunyai tiga kes tunggakan gaji tetapi ia dalam proses untuk dibawa ke Jawatankuasa Status FAM dan keputusan kes berkenaan akan ditentukan oleh jawatankuasa tersebut. Oleh itu, ia tidak termasuk di dalam ketetapan yang dibuat oleh FAM ini.

Untuk makluman juga, selepas selesainya fasa pertama masalah tunggakan membabitkan gaji pemain dan pegawai pasukan utama iaitu Liga Super dan Liga Premier ini, FAM akan beralih pula kepada fasa kedua.

Fasa kedua yang dimaksudkan ialah masalah tunggakan membabitkan pasukan-pasukan dengan agensi-agensi kerajaan iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan Piala Presiden dan Piala Belia.

Ia bukan saja membabitkan tiga pasukan berkenaan, malah beberapa lagi pasukan Liga Super dan Liga Premier lain yang tidak mempunyai masalah tunggakan gaji dengan pemain, tetapi masih mempunyai tunggakan hutang dengan LHDNM, KWSP dan PERKESO.

Ini merupakan usaha FAM bagi memastikan pasukan-pasukan yang terbabit membuat perjanjian bertulis untuk persetujuan kaedah dan tempoh penyelesaian tunggakan bersama agensi-agensi kerajaan tersebut.

FAM akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan tersebut untuk memastikan mana-mana pasukan yang belum membuat perjanjian persetujuan penyelesaian itu dapat berbuat demikian dan pada masa sama memantau supaya semua pasukan yang terlibat melakukan bayaran mengikut penjadualan yang telah ditetapkan.

Selain itu, fasa kedua ini juga akan memberi perhatian kepada tunggakan gaji para pemain dan pegawai pasukan Piala Presiden dan Piala Belia.

FAM bukan terlepas pandang perkara ini tetapi kami perlu menyelesaikan semua masalah mengikut peringkat dan keutamaan terlebih dahulu.

Untuk itu, FAM terpaksa mengambil langkah berperingkat menyelesaikan masalah tunggakan gaji membabitkan pemain dan pegawai pasukan Liga Super dan Liga Premier sebelum memfokuskan kepada fasa kedua membabitkan tunggakan dengan agensi-agensi kerajaan serta pemain dan pegawai pasukan Piala Presiden dan Piala Belia.

FAM akan membuat kenyataan rasmi dalam masa terdekat ini berhubung pasukan-pasukan yang masih mempunyai tunggakan gaji dengan pemain dan pegawai pasukan Piala Presiden dan Piala Belia masing-masing.

Baca juga artikel lain berkaitan bola sepak Asia yang telah kami sediakan untuk anda.

Liridon Krasniqi Sah Menjadi Warganegara Malaysia

Nguyen Quang Hai Akui Malaysia Bukan Lawan Mudah, Tetapi Thailand Paling Bermasalah Untuk Vietnam

Syarikat Korea Selatan Muncul Sebagai Penaja Utama Saingan 2 Divisyen Utama Liga Bola Sepak Vietnam