Juara Shopee Piala FA Malaysia 2018, Pahang FA yang sepatutnya menerima slot kelayakan 2 Play-Off AFC Champions League 2019, masih belum menghantar sebarang rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Perkara itu dijelaskan oleh Presiden FAM yang baru, Datuk Hamidin Mohd Amin semasa sidang media sesi dialog Presiden FAM dan Exco FAM bersama penyokong bola sepak Malaysia pagi tadi.

Menurut Datuj Hamidin lagi, jika Pahang FA mengemukakan rayuan mengenai perkara itu, tiada jaminan kelulusan akan diberikan dan semuanya bergantung kepada pertimbangan jawatankuasa rayuan FAM.

Mengikut peraturan yang ditetapkan oleh AFC bagi kejohanan AFC Champions League, jika juara kejohanan kalah mati tidak layak menerima slot, naib juara liga akan menerima slot itu sekiranya memenuhi semua syarat yang ditetapkan termasuk lesen kelab AFC.

Berdasarkan status terkini, naib juara Liga Super akan diberikan slot kelayakan 2 Play-Off AFC Champions League.

Namun sekiranya Pahang FA menghantar surat rayuan dan jawatankuasa rayuan FAM memberikan kelulusan, Pahang FA akan mewakili Malaysia dalam pusingan kelayakan 2 Play-Off AFC Champions League 2019 nanti yang dijadualkan bertemu kelab dari Hong Kong, Kitchee SC.