Bekas jurulatih Sime Darby FC dan UiTM FC, Ismail Zakaria mencadangkan agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Football League (MFL) membatalkan saingan Liga Malaysia musim ini jika kes penyebaran wabak pandemik, COVID-19 tidak menunjukkan tanda pengurangan sehingga bulan Jun ini.

Berkata dalam Berita Harian, Ismail berpendapat ia merupakan langkah yang terbaik bagi mengelakkan kesan yang lebih buruk berlaku ke atas pemain, barisan jurulatih, pengurusan pasukan, peminat selain penaja yang secara tidak langsung terkena tempias jika liga tidak dapat disambungkan.

“Jika bulan Jun baru boleh sambung semula liga, lebih baik batal sahaja liga dan mula liga baharu pada tahun depan sebagaimana Sukan Olimpik kerana kesannya cukup besar kepada semua yang terlibat, lagi pun liga baharu saja bermula.

“Impaknya bukan saja menyebabkan pemain kurang cergas kerana terlalu lama berehat daripada melakukan latihan yang konsisten, malah akan berlakunya risiko kecederaan kepada pemain selain mereka penat kerana terpaksa melalui jadual padat dalam seminggu dengan perlawanan liga dan Piala FA.

“Keadaan ini juga sudah pastinya memeningkan kepala jurulatih untuk mengembalikan semula rentak permainan pasukan kerana rehat panjang sekali gus aksi tidak berkualiti bakal disajikan pemain.

“Selain itu ia turut memberi kesan kepada penaja yang sebelum ini sudah pasti mahukan pulangan yang terbaik kepada mereka apatah lagi saya jangkakan penonton akan berkurangan kerana bimbang penularan wabak pandemik itu.

“Justeru lebih baik FAM sebagai badan induk boleh memikirkan kaedah terbaik termasuk membatalkan liga musim ini jika berlangsung lewat bagi membendung penularan pandemik itu,” jelas Ismail.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan pada bulan lalu membayangkan tempoh penangguhan saingan Liga Malaysia mungkin akan berlanjutan sehingga bulan Jun jika kes wabak COVID-19 meningkat ke tahap yang membimbangkan.

Katanya dalam Bernama, penangguhan itu tertakluk kepada saranan dan panduan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan keadaan semasa dan tahap ancaman wabak penyakit berjangkit itu.

Ketika ini, Liga Pro Belgium menjadi liga yang pertama di dunia memutuskan untuk membatalkan saingan domestik mereka bagi musim 2019/20 gara-gara kerana peningkatan kes COVID-19.

Keputusan itu menyaksikan pendahulu liga, Club Brugge dinobatkan sebagai juara untuk musim ini berdasarkan kedudukan semasa dalam Liga Pro Belgium. Berbaki satu perlawanan untuk musim ini, Club Brugge memang sudah tak dapat dikejar lagi oleh mana-mana pasukan.

Jadi, tiada masalah untuk mereka menobatkan juara kepada Club Brugge. Namun sekarang ini perbincangan akan terarah kepada untuk menentukan pasukan yang akan disingkirkan dan dinaikkan pangkat ke liga utama.

Jika Liga Malaysia musim ini dibatalkan, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan dinobatkan sebagai juara buat kali ketujuh berturut-turut berdasarkan kedudukan semasa. Manakala Perak sebagai naib juara selepas mengutip 8 mata dalam 4 perlawanan yang diharungi.

Baca artikel lain berkaitan dengan penularan wabak coronavirus sehingga menjejaskan sukan bola sepak. 

Kelab Liga Super China ‘Sangkut’ Di Sepanyol, Dua Bulan Tidak Pulang Kerana Coronavirus

Pemain Futsal Wanita Iran Meninggal Dunia Akibat Wabak Coronavirus

Beberapa Negara Tolak Jemputan Perlawanan Persahabatan Dengan Malaysia Kerana Coronavirus

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group