Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Philip Jabu mendedahkan pihaknya pernah merisik pemain kacukan Malaysia dan Amerika Syarikat, Isaac Angking untuk beraksi dalam saingan Liga Premier musim ini sebagai pemain import.

Bagaimanapun, pemain tengah berusia 20 tahun itu terikat kontrak dengan kelabnya, New England Revolution yang beraksi dalam saingan Major League Soccer (MLS) dan belum bersedia untuk pulang ke negara sebelah ibu dan datuknya.

Difahamkan datuk kepada Isaac merupakan Kolonel (R) Dunstan Nyaring Angking, berasal dari Betong, Sarawak dan merupakan perwira bangsa Iban pertama yang mencapai pangkat Kolonel dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ibu pemain berkenaan, Daliah Angking berasal dari Kuching dan mempunyai ahli keluarga yang menetap di negeri Bumi Kenyalang itu.

“Banyak proses yang perlu kita lalui untuk membawa beliau dalam pasukan kita. Tambahan pula, Isaac masih menyambung pengajian di negara kelahiran beliau.

“Isaac juga menyatakan bahawa beliau masih terikat dengan kelab bola sepak di Amerika Syarikat dan belum bersedia untuk berpindah daripada negara kelahirannya,” katanya seperti dipetik dalam gagodaily.

Isaac yang dilahirkan di Rhode Island itu telah memulakan karier bola sepaknya bersama New England Revolution ketika berusia 14 tahun serta pernah beraksi dengan skuad kebangsaan Amerika Syarikat bawah 17 dan 20 tahun.

Ejen kepada Isaac iaitu Nicco Roffo sebelum ini berkata pemain itu sedia pulang jika dipanggil mewakili skuad kebangsaan dalam perlawanan antarabangsa. Namun begitu, tiada sebarang komunikasi dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Isaac begitu berbangga mempunyai pertalian darah Malaysia dan terbuka jika mendapat panggilan untuk menyarung jersi kebangsaan.

“Umurnya baru 19 tahun, karier bola sepak dia masih panjang dan sekarang ini tumpuan utama adalah pada kelab yang diwakilinya.

“Adakah baru sekarang mereka mengetahui Isaac mempunyai darah kacukan Malaysia? Buat masa ini FAM tidak menghubungi Isaac atau saya untuk bertanya mengenai kemungkinan mewakili skuad kebangsaan.

“Tapi apa yang boleh saya katakan Isaac sudah pasti akan mempertimbangkan perkara terbabit,” katanya dalam Arena Metro. 

Baca artikel lain mengenai perkembangan pemain kacukan dan naturalisasi harimau malaya.

FAM Terima Dokumen Tambahan Marcel Kalonda

Bruno Nazario, Pemain Terbaru Yang Dikaitkan Dengan Skuad Harimau Malaya

Samuel Bone Berminat Sarung Jersi Harimau Malaya?