Saingan Piala Malaysia 2019 bakal bermula pada hari jumaat ini yang menghimpunkan 11 pasukan Liga Super dan 5 pasukan teratas daripada Liga Premier. Tugas berat menanti pasukan finalist Piala Malaysia musim lepas, Terengganu FC (TFC) apabila diundi dalam kumpulan A bersama juara Piala FA musim ini, Kedah, PKNS FC dan N. Sembilan.

Bagaimanapun, bekas ketua jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim yakin skuad penyu yang kini dibawah bimbingan Nafuzi Zain mampu menghuni dua kedudukan teratas dalam kumpulan sekaligus mara ke peringkat suku akhir.

Irfan berkata demikian berdasarkan prestasi terkini TFC dan pasukan lawan dalam lima perlawanan terakhir Liga Super.

“Saya melihat Kumpulan A kumpulan paling senang buat TFC ke peringkat lapan terakhir berbanding tiga kumpulan lagi biarpun ramai berpendapat ia kumpulan ‘maut’.

“Ini kerana saya melihat pasukan PKNS sedikit terumbang-ambing sejak kebelakangan ini dengan merekod beberapa keputusan yang kurang memberangsangkan, manakala pasukan Negeri Sembilan yang beraksi dalam Liga Perdana mampu dicabar pemain TFC.

“Tapi paling mencuri tumpuan pertembungan TFC dengan Kedah, ini kerana pemain TFC sudah dapat memadam badi dengan skuad itu pada musim ini, bagi saya aksi itu yang paling menarik peringkat kumpulan,” kata Irfan dalam Arena Metro semalam.

67217180_741373552959995_5696524246918889472_o
Skuad Terengganu FC menjalani latihan kecergasan di Pantai. FOTO: TFC

Dalam saingan Liga Super, Terengganu menghuni di kedudukan ketujuh dengan 30 mata hasil daripada tujuh kemenangan dan sembilan keputusan seri selepas mengharungi 21 perlawanan. Mereka akan membuka tirai Piala Malaysia dengan menentang PKNS FC pada hari jumaat ini.

Berdasarkan taktikal yang diamalkan oleh Nafuzi Zain apabila skuad itu berjaya mengikat juara bertahan Liga Super, JDT dengan jaringan 3-3 di Stadium Larkin pada minggu lalu, Irfan meramalkan TFC akan melangkah dengan lebih jauh dengan syarat pemain dalam pasukan itu terus mempamerkan prestasi yang konsisten.

“Saya jangka TFC mampu mara hingga ke separuh akhir berdasarkan prestasi pemain kian meningkat dalam liga terutama pemain muda, ini sesuatu yang positif buat pasukan.

“Tapi untuk ke final seperti musim lalu saya tidak berani meramalkan namun jika pemain menggandakan prestasi mereka serta taktikal jurulatih menjadi, tidak mustahil sekali lagi TFC mara ke final musim ini,” ujar Irfan.

Sumber