Bekas pengendali skuad Terengganu FC, Irfan Bakti kini menjadi buruan beberapa pasukan Liga Malaysia yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya untuk saingan musim depan.

Antara pasukan yang sedang memancing khidmat jurulatih berpengalaman itu ialah Kuala Lumpur apabila setiausaha agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa mendedahkan Irfan merupakan antara calon terbaharu untuk membimbing pasukan itu.

Malah, terdapat juga khabar angin di media sosial mengaitkannya dengan jawatan ketua jurulatih pasukan Perak bagi menggantikan tempat Mehmet Durakovic ekoran prestasi yang tidak memuaskan ditunjukkan oleh skuad The Bos Gaurus dalam saingan Piala Malaysia.

Bagaimanapun, Irfan Bakti berkata dalam Arena Metro hari ini menafikan akan menyertai dua pasukan tersebut kerana beliau masih belum membuat sebarang keputusan rasmi.

“Tidak… ia tidak benar, mungkin itu andaian atau pandangan sesetengah peminat bola sepak negara yang mengaitkan saya dengan Kuala Lumpur musim depan.

“Malah ada juga yang mengaitkan saya dengan Perak musim depan, itu tidak tepat. Terlalu awal untuk saya membuat keputusan pasukan mana yang akan dibimbing tahun depan,” katanya.

Irfan Bakti
Sumber Gambar: BH

Irfan telah meletak jawatan secara rasmi sebagai jurulatih Terengganu FC pada bulan Mei lalu selepas kekalahan mengejut 5-3 Terengganu kepada Petaling Jaya City FC dalam saingan Liga Super dan turut gagal mara ke peringkat separuh akhir Piala FA tahun ini.

Ketika itu, beliau terpaksa menolak beberapa tawaran daripada pasukan lain kerana mahu berehat daripada sukan bola sepak buat sementara waktu.

Sepanjang melatih Terengganu FC, Irfan Bakti telah membawa pasukannya menjuarai Piala FA pada tahun 2011, Naib Juara Piala Malaysia dan Naib Juara Liga Super seterusnya layak ke saingan AFC 2012 buat pertama kalinya dalam sejarah bola sepak negeri itu.

Kembalinya buat kali ke-2 pada tahun 2017, beliau memastikan Terengganu FC merangkul Naib Juara Liga Premier sehingga membawa pasukan itu naik ke Liga Super 2018 serta Naib Juara Piala Malaysia tahun lepas.

Artikel lain berkaitan dengan Irfan Bakri, baca di sini:

Kuala Lumpur Intai Khidmat Irfan Bakti Sebagai Ketua Jurulatih

Irfan Bakti: Lee Tuck Pemain Paling Rajin, Kekal Fokus Walaupun Dikaitkan Dengan Pasukan Kebangsaan Malaysia

PBSNT Tidak Terburu-buru Cari Pengganti Irfan

Sumber