Ketua jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim enggan barisan pemain mengambil mudah perlawanan menentang Terengganu FC II dalam aksi Liga Premier 2021 malam esok selepas menyaksikan wakil Pantai Timur itu meraih kemenangan pertama minggu lalu.

Irfan menyifatkan kemenangan besar 4-0 pasukan TFC II ke atas Skuad Projek FAM-MSN, Sabtu lalu pastinya memberi amaran awal kepada anak buahnya menjelang pertembungan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Justeru, Kuching City FC tidak boleh leka dalam tempoh 90 minit perlawanan bagi memastikan mereka tidak tersungkur dan mampu mengutip mata apatah lagi ini merupakan perlawanan pertama pasukan memandangkan mereka tidak beraksi minggu lalu.

Irfan Bakti
Sumber Gambar: Kuching City FC

“Sejujurnya saya mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap pasukan saya dan walaupun kami tidak mendapat perlawanan persahabatan yang kompetitif sebelum ini, tetapi saya percaya pengalaman pemain-pemain dan pengalaman saya juga mampu untuk menghasilkan sesuatu yang positif pada musim ini.

“Memang saya nampak semangat semua pemain yang berkobar-kobar dan sudah tidak sabar untuk beraksi apatah lagi pasukan-pasukan lain sudah ghairah beraksi pada minggu lalu, jadi kami juga tak mahu terlepas mengutip mata.

“Yang penting, saya menghormati pasukan lawan dan selepas tahu mereka menang besar tempoh hari, saya mahu pemain-pemain kekal fokus dan dapat beri tentangan sengit malam esok,” jelasnya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Sarawak United FC, E. Elavarasan enggan mendabik dada kemenangan Ahad lalu ke atas Kelantan United kerana masih banyak yang perlu diperbaiki pasukan menjelang aksi berdepan Perak FC II malam esok.

Malam ini dalam saingan Liga Premier 2021 akan menyaksikan perlawanan antara Skuad Projek FAM-MSN dan Kelantan FC manakala dua lagi aksi yang akan berlangsung pada malam esok membabitkan pasukan Sarawak United menentang Perak II serta Kelantan United FC dan PDRM FC.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Chong Yee Fatt Tetap Puas Hati Dengan Aksi Pemain Perak FC

Sultan Johor Kurnia RM30 Juta Kepada Yayasan JDT

Statistik Ringkas Aksi Minggu Pertama Liga Super 2021