Ketua jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim mengakui berbangga dengan pencapaian yang diraih oleh bekas pembantunya, Nafuzi Zain dalam membentuk skuad terbaik Terengganu FC sekali gus mara ke suku akhir TM Piala Malaysia.

Jelasnya, sejak beliau meninggalkan pasukan itu pada pertengahan 2019, Nafuzi telah menjalankan tugas dengan cemerlang untuk mengambil alih posisi ketua jurulatih buat kali pertama dan tidak mustahil mampu membawa pasukan ke pentas final Piala Malaysia sepertimana yang pernah Irfan lakukan pada musim 2018.

Dengan rekod bersih kemenangan skuad Penyu dalam aksi kumpulan B ketika ini membuktikan juara Piala Malaysia 2001 ini sebagai pasukan yang wajar digeruni dan mengagumi kerja keras bekas skuad bimbingannya itu sebelum ini.

Namun, bakal bertentang mata sebagai lawan untuk aksi terakhir peringkat kumpulan pada malam ini, Irfan tetap mahu anak buahnya memberikan tentangan sengit bagi cuba raih kemenangan berharga meskipun sudah tersingkir daripada saingan.

“Sudah tentu saya berbangga apatah lagi Terengganu sekarang sudah menjadi salah satu pasukan elit di negara kita yang kita boleh katakan hampir menyamai JDT (Johor Darul Ta’zim).

“Sekarang mereka dah layak ke suku akhir, jadi saya rasa tiada masalah mereka nak ke separuh akhir pula dan saya berbangga dengan apa yang dilakukan oleh Nafuzi selepas tiga tahun pernah menjadi pembantu saya.

“Bagi saya, dia merupakan jurulatih muda yang tidak malas dan selalu bertanya kalau ada masalah, dan malam ini kami bertemu buat kali kedua, sudah pasti ia akan menjadi pertembungan menarik”, jelasnya.

Irfan menjangkakan Terengganu tidak akan menurunkan tonggak utama pada malam ini sebaliknya hanya menggunakan khidmat pemain simpanan memandangkan mereka sudah pun menjadi juara kumpulan.

Tetapi, pengendali berusia 70 tahun ini mahu Kuching City sekurang-kurangnya mampu meraih kemenangan terakhir sebagai penutup memandangkan ini adalah penampilan pertama mereka di Piala Malaysia selepas saingan itu dibatalkan musim lepas.

“Sudah tentu Terengganu akan menurunkan pemain-pemain simpanan mereka sebab mereka mesti nak fokus aksi suku akhir.

“Suku akhir tinggal beberapa hari sahaja lagi dan mereka mesti nak jaga kecergasan masing-masing, jadi kita akan cuba sebaik mungkin untuk beri tentangan.

“Alhamdulillah dengan kemenangan ke atas Perak tempoh hari, sekurang-kurangnya Kuching City pernah rasa menang dalam pentas Piala Malaysia dan ini juga akan jadi motivasi terbaik untuk cuba menang dalam aksi terakhir malam ini”, tambah Irfan Bakti lagi.

Kuching City bersama-sama Perak FC tidak layak ke suku akhir apabila masing-masing meraih empat dan satu mata sahaja dalam lima perlawanan terakhir.

Malam ini akan berlangsung empat lagi perlawanan terakhir bagi peringkat kumpulan A dan B sebelum pasukan bersedia untuk aksi suku akhir pula bermula 14 dan 18 November ini.