Persatuan Bola Sepak Iraq (IFA) dilaporkan sedang berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa pada bulan September nanti.

Pasukan di ranking FIFA 67 dunia itu mahu menguji kekuatan Harimau Malaya sebagai persiapan menghadapi dua pasukan dari Asia Tenggara (ASEAN) di Piala Asia tahun depan.

Pada majlis undian rasmi Piala Asia khamis lepas, Iraq diundi dalam kumpulan D bersama Jepun serta dua pasukan ASEAN iaitu Indonesia dan Vietnam.

Selain Malaysia, Iraq juga berminat untuk menguji kekuatan Thailand yang merupakan juara Piala AFF tahun lepas.

Iraq merupakan bekas juara Piala Asia pada tahun 2007. Kali terakhir Malaysia bertemu Iraq adalah pada tahun 2006 dengan kekalahan 0-4.

Bagi skuad Harimau Malaya, ini merupakan kesempatan terbaik Kim Pan Gon untuk mengetahui sejauh mana kekuatan anak buahnya apabila turut akan berdepan dua pasukan teluk arab di Piala Asia nanti.

Malaysia diundi dalam kumpulan E bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.

Piala Asia akan bermula pada 12 Januari hingga 10 Februari 2024 di Qatar yang melibatkan lapan stadium terpilih dengan enam daripadanya pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022.

Antara stadium yang dipilih ialah Stadium Al Janoub, Stadium Al Bayt, Stadium Ahmed Ali, Stadium Al Thumama, Stadium Kota Pendidikan dan Stadium Antarabangsa Khalifa manakala turut melibatkan Stadium Jassim Hamad dan Stadium Abdullah Khalifa.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah Piala Asia ialah tempat ketiga Kumpulan B di Kuwait pada 1980 dan kali terakhir skuad negara beraksi di Piala Asia ialah pada tahun 2007 dimana ketika bergelar tuan rumah.

Jepun merupakan juara terbanyak dalam sejarah Piala Asia apabila memenangi pada edisi 1992, 2000, 2004 dan 2011 manakala Arab Saudi dan Iran berkongsi tiga kejuaraan.