Iran mungkin digantung daripada menyertai temasya Piala Dunia 2022 di Qatar selepas peminat wanita dihalang untuk memasuki stadium ketika perlawanan kelayakan menentang Lebanon pada 29 Mac lalu.

Terdapat video yang tular di media sosial menunjukkan pegawai keselamatan yang bertugas di stadium bukan sahaja menghalang peminat wanita untuk masuk tetapi juga menggunakan gas pemedih mata dan penyembur lada terhadap peminat yang berusaha masuk ke stadium.

Menurut laporan portal berita negara itu yang berpangkalan di London, pihak FA tidak mengeluarkan sebarang permohonan maaf setelah insiden itu terjadi dan memberikan alasan yang tidak munasabah mengenai tiket yang dimiliki oleh peminat wanita terbabit.

Pihak FA Iran berkata tiket yang dibeli oleh peminat wanita itu dibeli daripada “ulat tiket” atau peminat itu tidak mendedahkan beliau merupakan seorang wanita ketika membeli tiket tersebut.

“Hanya sembilan wanita yang telah membeli tiket untuk bahagian lelaki stadium dan akan dibayar balik dalam tempoh 48 jam. Tidak syak lagi ini merupakan satu lagi episod pahit semasa aksi bola sepak berlangsung dan masalah ini adalah akibat daripada tindakan segelintir individu yang mahu menjejaskan ketenteraman dan keselamatan stadium dengan mencetak dan menjual tiket palsu,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan pihak FA.

Seramai 12,500 peminat telah membeli tiket untuk menyaksikan perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 antara Iran menentang Lebanon dan peminat wanita dilaporkan mendapat kuota sebanyak 2000 keping tiket.

Sekiranya skuad bimbingan Dragan Skočić digantung daripada beraksi di temasya Piala Dunia 2022, maka Itali akan menggantikan pasukan dari benua Asia itu kerana juara UEFA EURO 2020 itu berada di ranking paling tinggi dalam kedudukan FIFA.

Iran dan satu lagi negara iaitu Afghanistan sememangnya terkenal dengan diskriminasi terhadap wanita dan melarang peminat wanita untuk memasuki stadium bagi menyaksikan perlawanan bola sepak. Pelbagai usaha dan protes telah dijalankan namun masalah ini masih lagi menghantui bola sepak kedua-dua negara.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia di sini:

Malaysia Hadapi Dua Aksi Persahabatan Antarabangsa Mei Ini

Al Rihla Sah Jadi Bola Rasmi Piala Dunia 2022, Menyokong Permainan Pantas Bola Sepak Moden

Rusia Mahu Tinggalkan UEFA Dan Sertai AFC