Inter Milan mara ke final Liga Juara-Juara ataupun UCL pertama mereka selama 13 tahun apabila gol tunggal Lautaro Martinez pada aksi di San Siro memberikan mereka kemenangan secara agregat 3-0 menentang AC Milan pada awal pagi Rabu waktu Malaysia.

Inter sudah pasti akan menjadi pasukan bukan pilihan apabila turun menentang sama ada Real Madrid atau Manchester City pada perlawanan akhir di Istanbul pada 10 Jun akan datang.

Tetapi cara mereka mengendalikan kedua-dua perlawanan di dalam aksi derbi Milan ini menunjukkan mereka sukar untuk ditewaskan.

Detik penting pada malam tadi di San Siro datang apabila Martinez bertukar hantaran dengan pemain gantian Romelu Lukaku dan melakukan rembatan dari dalam kotak penalti yang tidak dapat dihadang oleh penjaga gol Milan Mike Maignan di tiang terdekatnya.

Gol itu secara mutlak telah mematikan perlawanan ini dan menentukan siapa yang mara ke final.

Ketinggalan 2-0 dari perlawanan pertama, Milan telah mengasak dengan intensif pada separuh masa pertama, diterajui oleh Rafael Leao yang merembat melepasi gawang.

Dia juga memiliki salah satu peluang terbaik pasukannya.

Maignan kemudian menggunakan refleksnya yang hebat untuk menampan tandukan Edin Dzeko daripada sepakan percuma pantas Hakan Calhanoglu.

Kemunculan sulung Lukaku pada separuh masa kedua telah memberikan percikan yang diperlukan Inter untuk melebarkan kelebihan mereka.

Lukaku yang banyak tersisih untuk sebahagian besar musim ini kerana kecederaan dan dengan reputasi yang merudum selepas Piala Dunia, selepas kempen yang dianggap bencana bersama Belgium, Lukaku perlahan-lahan berusaha untuk kembali ke tahap terbaiknya.

Penyerang yang dipinjamkan dari Chelsea itu serta-merta menimbulkan masalah di pertahanan Milan.

Dia segera mencipta gol Martinez untuk menjamin tempat Inter dalam final UCL pertama sejak kali terakhir mereka memenangi mahkota terbesar bola sepak dalam pertandingan kelab Eropah di bawah kendalian Jose Mourinho pada 2010.

Inter ketika itu menamatkan musim dengan treble. Kali ini mereka berusaha untuk menjuarai UCL, sebagai jaminan tiket untuk beraksi dalam pertandingan itu musim hadapan.

Ini memandangkan mereka masih bergelut untuk mengekalkan diri dalam 4 teratas dalam carta Serie A.

Martinez juga berpeluang menjadi pemain kesepuluh dalam sejarah, memenangi Piala Dunia dan UCL dalam satu kempen yang sama.