Jaringan tunggal Hakan Calhanoglu pada babak pertama sudah cukup untuk menghadiahkan kemenangan penting Inter Milan ke atas Barcelona pada aksi ketiga Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2022/23 yang berlangsung di Giuseppe Meazza, sebentar tadi.

Barcelona tampil dengan tersusun untuk menguasai sebahagian besar permainan meskipun beraksi di gelanggang lawan manakala Inter Milan pula bersandarkan kepada serangan balas pantas.

Inter Milan yang dibimbing Simone Inzaghi mendapat peluang pada minit ketujuh menerusi rembatan padu dilakukan oleh Calhanoglu ketika situasi kelam-kabut di kawasan Barcelona. Namun, percubaan dari luar kawasan penalti itu diselamatkan dengan baik penjaga gol, Marc-Andre Ter Stegen.

Selepas itu, Barcelona mendapat dua peluang menerusi tandukan Andreas Christensen dan Robert Lewandowski tetapi kedua-duanya mudah diselamatkan oleh Andre Onana di gawang Inter Milan.

Memasuki minit ke-29, Joaquin Correa berjaya menggegarkan gawang Barcelona tetapi jaringan itu dibatalkan kerana beliau berad dalam di dalam kedudukan ofsaid ketika menerima lorongan baik daripada Federico Dimarco.

Ousmane Dembele sesekali menggunakan kelincahannya untuk merobek gawang Inter Milan, namun rembatannya selepas berjaya melepasi kawalan pertahanan tuan rumah sekadar singgah di tepi pintu gol.

Hakan Calhanoglu membuatkan stadium keramat Inter Milan itu gamat dengan sorakan penyokong setia mereka apabila percubaan rendah dilakukannya dari luar kawasan penalti tidak mampu diselamatkan Ter Stegen untuk memberikan kelebihan buat I Nerazzuri.

Ketika permainan memasuki minit ke-61, Dembele sekali lagi memberikan ancaman buat barisan pertahanan Inter Milan. Rembatan padu yang dilepaskannya dalam kawasan penalti bagaimanapun dinafikan oleh Onana.

Berselang enam minit kemudian, Barcelona hampir mengikat kedudukan selepas Pedri berjaya menjaringkan gol. Namun, selepas rujukan Video Assistant Referee (VAR) dibuat, bola dikesan terkena tangan pemain gantian, Ansu Fati.

Keadaan itu jelas menghampakan Barcelona yang masih gagal untuk mendapatkan jaringan bagi memastikan tiga mata penuh pada perlawanan ini menjadi milik Inter Milan.

Dengan kemenangan ini, Inter Milan berada ditempat kedua dengan enam mata, ketinggalan tiga mata dibelakang pendahulu, Bayern Munich manakala Barcelona menduduki tangga ketiga dengan tiga mata. Sementara itu, Viktoria Plzen di kedudukan terakhir tanpa sebarang mata dicatatkan ekoran tiga kekalahan dialami.