Teka-teki mengenai penaja utama baharu buat Inter Milan sudah pun terjawab apabila platform penyedia blockchain terkemuka dari Malta, Socios.com telah diumumkan secara rasmi bekerjasama dengan juara bertahan saingan Serie A itu.

Pengumuman di laman sosial rasmi kelab tersebut juga sebagai tanda bermulanya revolusi baharu Inter Milan sekali gus menamatkan nostalgia selama 26 tahun bersama penaja utama sebelum ini, Pirelli.

Menurut sumber Sports Pro Media, Pirelli yang mula menjadi penaja utama kelab bermula musim 1995/96 itu bagaimanapun masih lagi merupakan rakan tayar rasmi bagi Inter Milan sehingga tamat musim 2023/24.

Susulan kerjasama selama setahun dengan pilihan lanjutan tiga tahun bersama penyedia blockchain bagi industri sukan dan hiburan global itu menyaksikan jersi Intan Milan pada musim baharu nanti bakal terpampang dengan tulisan ‘$INTER Fan Token’.

“Kami sangat berbangga untuk mengumumkan kerjasama pada hari ini, perjanjian yang menghubungkan kami dengan jenama terkemuka dalam industrinya,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Inter Milan, Alessandro Antonello.

“Kesepakatan ini menegaskan pertumbuhan dan daya tarikan jenama Inter walaupun semua cabaran yang dihadapi kelab ini dalam menghadapi tempoh pandemik ini.”

Inter Milan

“Jersi ini sangat penting bagi kami kerana ini adalah yang pertama dengan [logo] Scudetto di dada kami setelah bertahun-tahun menunggu.”

“Ini adalah tonggak baharu dalam perjalanan kami dan kami dengan senang hati meraikannya bersama Socios.com dan para peminat kami,” tambah Antonello lagi menurut laporan Sport Bible.

Inter Milan juga menjangkakan bakal memperoleh €30 juta susulan kerjasama dengan Socios.com ini dan ia jelas amat membantu Inter Milan tatkala mereka memang memerlukan suntikan dana bagi membantu perjalanan pasukan dalam menghadapi wabak yang sedang melanda.

Masalah kewangan juga memaksa pengendali terdahulu, Antonio Conte dan bintang pertahanan, Achraf Hakimi meninggalkan pasukan walaupun kedua-duanya memainkan peranan penting dalam membantu Inter Milan menjuarai Serie A musim lalu.

Baca artikel lain mengenai Inter Milan:

Presiden Inter Milan Dedahkan Sebab Perpisahan Dengan Antonio Conte

RASMI: Inter Milan Juara Itali! Tamatkan Monopoli 9 Tahun Juventus

Inter Milan Perkenalkan Logo Baharu Untuk Musim 2021/2022

Sumber