Dua pemain bola sepak wanita tempatan, Intan Sarah Anisah Zulgafli dan Steffi Sarge Kaur kembali bergabung dalam satu pasukan apabila dipanggil menyertai Skuad Malayan Tigress bagi menghadapi saingan Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja bermula 2 hingga 16 Mei 2023.

Sebelum ini, kedua-dua pemain itu pernah mewakili negara di Sukan SEA dan kejohanan AFC dalam sukan futsal wanita.

Ketua jurulatih, Soleen Al Zoubi telah menyenaraikan 26 pemain terbaik daripada 47 orang yang menyertai sesi pemilihan pemain bola sepak wanita bagi skuad Malayan Tigress di Wisma FAM sejak minggu lepas.

Daripada senarai pemain tersebut, Soleen telah memanggil seramai 13 pemain baharu bagi di mana purata umur bagi panggilan latihan pusat kali ini adalah 22 tahun.

Selain itu, lima pemain dari skuad yang beraksi pada pusingan Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 di Phnom Penh, Kemboja dari 8 hingga 12 Mac lalu iaitu, S. Thivashini, Kanchenjeet Kaur, Lauren Hoh Ruyi, Nur Najwa Irdina Zaidi dan Nur Amirah Rahman turut dipanggil Soleen bagi menyertai kem latihan pusat ini.

Skuad Malayan Tigress akan menjalani kem latihan pusat selama 25 hari di Wisma FAM, Kelana Jaya yang mana Soleen telah menjadualkan satu perlawanan antarabangsa Tier 1 pada penghujung April ini di halaman tempat lawan.

Bagi tahun 2023, pasukan-pasukan kebangsaan wanita akan menghadapi Sukan SEA 2023 di Kemboja, Kelayakan Olimpik 2024, Kejuaraan Wanita AFF 2023, Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2024, Kejuaraan Wanita B-19 AFF 2023, Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2024 serta Kejuaraan Wanita B-16 AFF 2023.

Selain itu, di peringkat domestik pula, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menjalankan Liga Wanita Nasional (LWN) dan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) bagi musim 2023, selain bengkel-bengkel berkaitan bola sepak wanita dan paling utama, pelancaran Pelan Pembangunan Bola Sepak Wanita FAM.