Berita pemergian Lionel Messi ke Paris Saint-Germain (PSG) menjadi tumpuan peminat bola sepak seluruh dunia di mana perkembangan terbaharu itu merupakan antara perkara yang tidak langsung berada dalam pemikiran mereka terutamanya buat para penyokong Barcelona.

Legenda Barcelona, Andres Iniesta turut tidak terkecuali dalam meluahkan kekecewaannya dan mengakui amat pedih buat beliau untuk melihat bekas rakan sepasukannya itu menyarung jersi pasukan lain.

Beraksi bersama sejak dari zaman remaja sehingga ke puncak kegemilangan Barcelona sebelum berhijrah ke Vissel Kobe pada musim 2018/19, Iniesta ada alasan yang kukuh untuk merasai kepahitan susulan berpisahnya Messi dengan kelab Catalan itu.

“Saya tidak tahu apa masalah dalaman yang terjadi [antara Messi dan Barcelona], tetapi kelab ini perlu kembali bangkit daripada berita perpindahan ini,” ujar Iniesta menurut laporan Goal.

“Sangat pedih hati ini melihatnya memakai jersi pasukan lain. Leo mempesonakan Barcelona. Dia adalah segalanya, Messi merupakan pemain yang melampaui pasukan.”

“Saya tidak pernah melihat seorang pemain pun seperti dia dan saya tidak akan pernah  ada pemain sepertinya.”

“Barcelona akan terus menjadi salah sebuah pasukan yang terbaik di dunia, salah sebuah kelab yang seharusnya berada di puncak,” tambah Iniesta lagi.

Lionel Messi terpaksa meninggalkan Barcelona selepas usaha untuk memeterai kontrak lanjutan melibatkan kedua-dua pihak tidak berjaya direalisasikan susulan halangan kewangan dan struktur dalam peraturan La Liga.

Keadaan itu membolehkan PSG untuk menawarkan kontrak selama dua musim dengan pilihan lanjutan sehingga Jun 2024 selain gaji yang bakal diterima adalah sebanyak RM2.86 juta seminggu.

Di sebalik kisah yang menyedihkan The Blaugrana ini, sesuatu yang menarik untuk melihat bagaimana Ronald Koeman dapat membina semula skuad bimbingannya pasca pemergian Messi.

Teruskan membaca artikel-artikel lain yang telah kami sediakan seperti dibawah.

Dua Bekas Pemain Import Pertimbang Saman Perak FC

Tan Cheng Hoe Kecewa Tiada Aksi Persahabatan Untuk Harimau Malaya

Tewas Kepada PSV Eindhoven, FC Midtjylland Gagal Layak Ke UEFA Champions League

Sumber