Isu tiket Piala Harapan kembali menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan apabila pihak penganjur dilaporkan hanya memberikan sehelai kertas ‘borang akaun penerima wang’ sebagai tiket tambahan.

Piala Harapan merupakan perlawanan pramusim empat penjuru yang julung kali itu dianjurkan oleh Kelab Bola Sepak Penang (PFC) serta turut disertai oleh Selangor FC, Kedah Darul Aman FC dan kelab dari Singapura, Geylang International FC.

Semua perlawanan ini berlangsung di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan yang mempunyai kapasiti sebanyak 40,000 tempat duduk.

Pertembungan antara Kedah dan Selangor sememangnya menarik perhatian sehingga jualan tiket perlawanan itu mendapat sambutan mengalakkan sehingga  telah habis dijual dalam tempoh yang singkat.

Difahamkan jumlah sebenar tiket yang dibuka untuk jualan ialah sebanyak 8,000 tiket dan pihak PFC turut mengumumkan tiket tambahan sebanyak 1,000 keping untuk dijual di kaunter utama.

Bagaimanapun, beberapa penyokong Kedah yang menyaksikan perlawanan menentang Selangor semalam terkejut apabila melihat tiket tambahan yang tidak ubah seperti resit bayaran zakat sekaligus menunjukkan PFC belum bersedia  menerima kehadiran jumlah penyokong yang lebih ramai.

Sebelum ini, para penyokong Penang turut mengkritik keadaan tiket perlawanan yang dijual dengan harga RM5.00 hingga RM15.00 itu dilihat menyerupai kupon hari kantin sekaligus menganggap standard tiket tidak mengambarkan seperti sebuah kelab profesional.

Menurut Ultras Panthers, ia adalah langkah yang kurang ‘cerdik’ daripada pengurusan PFC dan menunjukkan sikap kerja sambil lewa dalam penyediaan tiket perlawanan seperti zaman tahun 2000.

Bukan itu sahaja, sistem kawalan keselamatan di pintu masuk stadium tersebut turut dikritik hebat oleh pelbagai pihak. Berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial, ada yang mendakwa penyokong telah masuk secara percuma tanpa sebarang bayaran tiket.

Kekecewaan melihat rakaman video berkenaan turut dirasakan rata-rata penyokong setia yang telah beratur panjang sejak waktu pagi untuk mendapatkan tiket perlawanan tersebut.

Selangor akan berentap menentang Penang FC untuk menentukan juara Piala Harapan di Stadium Negeri, Batu Kawan, Pulau Pinang malam esok.

Ia selepas skuad kendalian Tan Cheng Hoe menewaskan skuad Kenari 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan buntu menjaringkan gol pada aksi yang bermula lewat akibat hujan lebat malam tadi.