Ramai sudah sedia maklum bahawa Hadi Fayyadh baru-baru ini telah menjaringkan gol pertama beliau bersama Fagiano Okayama. Namun tidak ramai yang tahu bahawa itu bukanlah gol yang direkodkan sebagai catatan jaringan dalam saingan liga J2 League sebenarnya.

Artikel kali ini bertujuan untuk memperjelaskan apa status perlawanan dan juga gol yang dijaringkan oleh Hadi Fayyadh baru-baru ini supaya para peminat bola sepak di Malaysia tidak keliru dengan apa sebenarnya yang berlaku.

Mungkin ada beberapa media telah membuat laporan bahawa Hadi Fayyadh telah menjaringkan gol pertama sekitar Febuari yang lalu dalam perlawanan persahabatan bertemu Universiti Kansai Fukushi, tetapi itu adalah perlawanan persahabatan biasa sahaja.

JLeague Ikusei: Sub Liga Untuk Pemain PRO Kurang Minit Permainan

Pada perlawanan tempoh hari, Hadi Fayyadh telah diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Fagiano Okayama bertemu Gainare Tottori dalam satu sub liga – inisiatif dari JLeague, untuk membantu para pemain profesional yang tidak memiliki atau kurang mendapat minit permainan dalam saingan liga sebenar.

Saingan J2 League 2019 kini sudah masuk ke perlawanan ke 13, dan Hadi Fayyadh masih lagi tidak berjaya untuk memecah masuk sekurang-kurangnya dalam 18 pemain yang tersenarai dalam perlawanan liga – 0 minit masa bermain dalam liga.

Ikusei itu sendiri sebenarnya membawa maksud pembangunan, dan jelas disini bahawa pihak JLeague cuba memberikan sokongan kepada pemain yang kurang mendapat tempat.

Bagi tahun 2019, ada 6 pasukan yang bersetuju untuk menyertai saingan JLeague Ikusei Matchday iaitu;

  • Fagiano Okayama
  • Gainare Tottori
  • Renofa Yamaguchi
  • Tokushima Vortis
  • Ehime FC
  • Sanfrecce Hiroshima

Apa Syarat-Syarat Dalam JLeague Ikusei Matchday Ini?

Sudah pasti beberapa syarat telah ditetapkan untuk mana-mana pemain layak beraksi dalam saingan liga ini dan bukan semua pemain yang kurang minit permainan dibenarkan beraksi.

Perkara pertama yang perlu kita tahu adalah, seseorang pemain itu merupakan pemain yang baru memegang status PRO dalam tempoh 1 hingga 5 tahun sahaja. Pemain yang telah memiliki kontrak PRO lebih dari 5 tahun tidak layak untuk menyertai saingan ini. Atau pendek kata, pemain yang berumur 18 hingga 23 tahun sahaja.

Pengiraan Mata Perlawanan:

  • 1 mata bagi setiap pasukan yang turun beraksi.
  • 1 mata bagi pasukan yang menang dan 0 mata bagi pasukan seri atau tewas.
  • 5 pasukan yang mempunyai rekod minit permainan (setahun) bagi pemain bawah 23 tahun paling tinggi akan menerima 5 mata dan pasukan seterusnya 4 mata sehingga pasukan ke 5 yang akan menerima 1 mata.
  • Pasukan ‘home’ yang berjaya menyediakan fasiliti seperti perlawanan liga sebenar (penggunaan stadium dan sebagainya) akan menerima 3 mata.
  • Bagi pasukan pelawat yang terpaksa beraksi ditempat lawan berjarak lebih 300km, akan menerima 1 mata tambahan.

Hadiah Wang Tunai:

  • Johan: JPY4,000,000 / RM151,776.39
  • Naib Johan: JPY3,000,000 / RM113,832.29
  • Ke-3: JPY2,000,000 / RM75,888.19
  • Ke-4: JPY1,000,000 / RM37,939.75
  • Ke-5: JPY500,000 / RM18,969.87
  • Ke-6: JPY300,000 / RM11,381.92

Namun begitu, hadiah wang tunai ini tidak akan dibahagikan kepada pemain-pemain yang menyertai liga ini tetapi JLeague telah memberikan syarat bahawa setiap kelab perlu menggunakan hadiah wang tunai ini untuk tujuan pembangunan akademi masing-masing.

Berbalik kepada Hadi Fayyadh, seperti yang kita tahu beliau masih belum memiliki sebarang minit permainan dalam liga, berumur kurang dari 23 tahun serta baru sahaja memiliki kontrak PRO tahun pertama.

Screenshot 2019-05-13 at 12.46.55 PM
Hadi Fayyadh memakai jersi nombor 28, 1 penampilan, 45 minit masa bermain, 1 gol.

Bagi membantu Hadi Fayyadh dan juga pemain-pemain lain, mereka turun beraksi dalam saingan JLeague Ikusei Matchday dan penampilan serta gol mereka dalam saingan ini direkodkan secara rasmi oleh pihak JLeague untuk tujuan rujukan.