Baru-baru ini pengelola Liga Malaysia, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan teknologi Video Assistance Referee (VAR) bakal digunakan dalam saingan Liga Malaysia bermula musim 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam berkata teknologi tersebut tidak akan segera digunakan pada awal musim 2023 kerana ianya memerlukan latihan khususnya terhada pengadil yang akan mengendalikan teknologi itu dan beberapa siri ujian. Berkemungkinan besar VAR akan digunakan pada perlawanan peringkat kalah mati saingan Piala FA dan Piala Malaysia.

Menurut Stuart, latihan dan persiapan tersebut mengambil masa dalam 6 hingga 7 bulan. Oleh itu, MFL menyatakan bahawa mereka sedang bergerak aktif dalam memastikan teknologi itu akan dapat digunakan pada peringkat terakhir Piala Malaysia pada musim ini.

Selain faktor latihan terhadap pengadil dan ujian, kos juga merupakan satu isu yang perlu diberikan perhatian kerana bukan murah untuk memasang teknologi tersebut.

Menurut laporan The Vibe, teknologi VAR akan menelan kos sebanyak RM25 Juta dan kelab perlu membayar sebanyak RM500,000 untuk menggunakan teknologi tersebut.

Liga Bola Sepak Profesional Scotland yang baru saja menggunakan VAR berkata teknologi itu telah menelan belanja setiap kelab sebanyak £120,000 (RM633,567) semusim, dan kos keseluruhan yang ditanggung oleh pengelola liga dianggarkan sebanyak £12 juta (RM65 juta) setiap musim.

Kos ini dianggap mahal walaupun sesebuah liga seperti SPL mempunyai barisan penaja yang mahal kerana ianya secara tidak langsung akan memberikan kesan terhadap perbelanjaan kelab dan pengelola liga.

Selain itu, faktor stadium juga perlu diberikan pertimbangan dimana tidak banyak stadium di Malaysia yang mempunyai kemudahan untuk meletakkan kamera dan juga peralatan komputer yang bakal digunakan.

Antara stadium di dalam negara yang mampu untuk menampung teknologi tersebut ialah Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dan Stadium Sultan Ibrahim (SSI).