Sebuah kelab Liga Perdana Inggeris, Watford FC semalam melakukan satu perkara yang ‘simple’ tetapi memberi kesan cukup mendalam kepada penyokong mereka yang telah hadir ke semua perlawanan ditempat lawan bagi musim 2017/18.

Melalui kemaskini laman sosial Twitter seorang penyokong setia Watford FC, Nicholas Punter, beliau telah memuat naik 2 keping gambar – jersi away 2018/19 Watford FC secara percuma dan surat penghargaan daripada kelab kerana telah hadir di kesemua 19 perlawanan Watford FC ditempat lawan.

Menurut Nicholas Punter yang dihubungi pihak Vocket FC semalam, beliau memberitahu bahawa secara purata bagi setiap perlawanan ditempat lawan, kos tiket yang perlu dibelanjakan adalah sekitar £30 (RM160) tidak termasuk kos pengangkutan, makan minum, penginapan dan lain-lain.

Beliau menegaskan bahawa untuk hadir memberikan sokongan untuk pasukan kelab kesayangan bukan sesuatu yang murah, dan jika dikira jumlah kos untuk semua 19 perlawanan ditempat lawan, Nicholas Punter telah menghabiskan sebanyak £570 (RM3,040).

Apabila ditanya mengenai bagaimana pihak kelab mengesan penyokong-penyokong yang hadir memberikan sokongan ditempat lawan, Nicholas Punter memberitahu bahawa Watford FC menggunakan satu sistem merit khas untuk ‘away game’ menggunakan fans ID.

watford fc 2018/19

Penyokong perlu mempunyai fans ID bagi membeli tiket melalui saluran rasmi penjualan tiket dan melalui fans ID ini, kelab akan sentiasa melihat rekod bagi mengenalpasti apa yang mampu dilakukan oleh mereka dimasa depan – sebagai contoh memberikan penghargaan kepada penyokong dan sebagainya.

Kemudian, kelab juga akan mengeluarkan tiket ‘away game’ mengikut ‘batch’ atau kumpulan. Kumpulan-kumpulan ini akan ditentukan berdasarkan frekuensi kehadiran penyokong ke stadium tempat lawan.

Sebagai contoh, tiket ‘away game’ akan mula dijual kepada penyokong yang berada dalam kumpulan A – disebabkan penyokong dalam kumpulan ini sebahagian besarnya akan hadir ke stadium ditempat lawan.

Seterusnya semakin kurang frekuensi kehadiran ke tempat lawan akan menyebabkan fans ID berada dalam kumpulan yang lebih rendah. Semakin banyak seseorang penyokong itu hadir ke ‘away game’ semakin tinggi kedudukan kumpulan mereka dan kebarangkalian untuk mendapat tiket itu lebih tinggi.