Penolong jurulatih skuad futsal kebangsaan Thailand, Patt Sriwijit mengakui pendedahan terhadap sukan futsal di peringkat sekolah menjadi antara elemen penting dalam mengembangkan bakat pemain-pemain negara tersebut ke tahap lebih tinggi.

Selepas pertama kali membuat penampilan dalam Piala Dunia Futsal 2000, Thailand tidak pernah ketinggalan untuk menyertai kejohanan paling berprestij tersebut dimana tiga edisi terakhir mereka berjaya lolos ke pusingan 16.

Satu keadaan yang sudah cukup jelas untuk melabelkan Thailand yang kini dibimbing oleh pengendali dari Sepanyol, Carlos Cesar Nunez Gago sebagai antara pasukan berkelas dunia.

Patt Sriwijit merupakan individu yang cukup berpengalaman dalam kancah futsal di Thailand. Kredit Foto: Futsal Thailand

Menurut perkongsian Patt kepada wakil VocketFC, kefahaman terhadap futsal sudah mula diterapkan kepada pelajar sekolah berkaitan cara bermain dengan betul, memahami peraturan serta undang-undang sukan lima sebelah tersebut.

Pertandingan di peringkat sekolah [Liga Sekolah Menengah Kebangsaan] juga diadakan dengan cukup rapi dan kompetitif bagi mempersiapkan pemain yang lebih bersedia menghadapi tahap seterusnya.

Selain itu, Patt turut menganggap kebijaksanaan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Adisak Benjasiriwan turut merupakan faktor utama peningkatan futsal di sana.

“Encik Adisak Benjasiriwan merupakan seorang yang begitu memahami cara mengurus dan amat menyokong perkembangan futsal di Thailand. Beliau banyak menghabiskan masa dalam menumpukan usaha terbaik seperti pembangunan latihan, kejurulatihan dan juga pengurusan pertandingan.”

“Beliau telah mengendalikan futsal di Thailand dengan cara yang sangat baik. Beliau membangunkan futsal dari peringkat remaja sehingga ke skuad kebangsaan. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa dia telah melahirkan sukan futsal ini di Thailand.”

Adisak Benjasiriwan memainkan peranan cukup besar terhadap perkembangan futsal di sana. Kredit Foto: FA Thailand

Dengan semangat tinggi dimiliki Adisak dalam membangunkan futsal, tidak hairanlah banyak pertandingan antarabangsa diadakan di Bangkok antaranya seperti Piala Dunia Futsal 2012,  Piala Futsal Antara Benua 2018 dan 2019 yang menampilkan kelab-kelab terbaik di seluruh dunia.

Selain itu, saingan liga domestik yang kompetitif saban tahun juga disifatkan oleh Patt menjadi antara penyebab sukan futsal semakin menunjukkan peningkatan di sana.

Mana tidaknya, ketua jurulatih bagi setiap pasukan bertanding perlu memiliki lesen kejurulatihan AFC tahap 3. Seramai tiga orang pemain import dibenarkan didaftarkan tetapi hanya boleh menurunkan dua pemain dalam satu-satu perlawanan.

Saingan liga dijalankan dengan cukup profesional dan teratur yang mana secara tidak langsung ia meningkatkan aspek komersial untuk menarik minat penaja setiap pasukan.

Futsal Malaysia
Kritsada Wongkeao masih mampu mengekalkan prestasi di tahap terbaik pada tempoh yang lama. Kredit Foto: Thailand NT Official

Dengan hanya tiga elemen yang didedahkan oleh Patt Sriwijit ini, ia memberikan gambaran jelas bahawa negara kita sememangnya terlalu jauh dari pelbagai aspek untuk menyaingi Thailand.

Terlalu banyak kerja rumah yang perlu dilakukan oleh pihak berkaitan untuk menjadikan Malaysia sebagai antara kuasa besar futsal di Asia.

Tetapi tiada yang mustahil untuk direalisasikan sekiranya semua pihak dapat memainkan peranan dengan lebih serius bagi menjayakannya dan tidaklah menjadi kesalahan untuk kita mencontohi segala usaha dilakukan oleh Thailand dalam meningkatkan kualiti futsal di Malaysia.

Setiap kejayaan pasti akan ada rintangan yang perlu dilalui pada permulaannya. Pahit untuk ditelan tetapi itulah hakikatnya!