Siapa yang tak kenal Indra Putra Mahayuddin?

Beliau merupakan antara pemain tempatan yang mempunyai karisma tersendiri dan masih mampu beraksi hingga ke hari ini pada usia menjangkau 38 tahun bersama pasukan Kuala Lumpur.

Pemain kelahiran dari Ipoh itu juga telah mengecapi pelbagai kejayaan sepanjang kariernya seperti memenangi kejuaraan Liga Perdana Satu buat dua tahun berturut-turut ketika bersama Perak, memenangi Piala FA juga dua tahun berturut-turut (Kelantan), Liga Super dan banyak lagi.

Sepanjang mewakili skuad kebangsaan, beliau telah menjaringkan 31 gol dalam 79 penampilan. Pada 27 April lepas merupakan hari bertuah beliau apabila berjaya mencapai rekod jaringan yang ke 100 dalam saingan Liga Super musim ini ketika menentang PKNS FC.

Ia adalah jaringan yang memukau dengan lencongan di sebelah kanan menewaskan penjaga gol PKNS FC, Zarif Irfan.

Kali pertama beliau meledak gol di pentas Liga Super ialah pada 21 Februari 2004, apabila mewakili Pahang menentang Sabah. Jaringan Indra turut direkodkan ketika bermain untuk Kelantan, FELDA United, Perak, T-Team, Selangor dan Kuala Lumpur sendiri sepanjang 15 tahun.

Bagaimanapun, Indra Putra mengakui bukan mudah untuk mencapai rekod tersebut kerana beliau menyifatkan saingan Liga Super pada musim ini jauh lebih sengit daripada musim lepas.

Walaupun Kuala Lumpur kini berada di kedudukan tercorot Liga Super, beliau masih belum terfikir untuk bersara daripada sukan bola sepak atau menceburi bidang kejurulatihan kerana masih mahu bermain setahun lagi.

“Saya masih lagi mahu terus bermain dalam tempoh setahun lagi. Mungkin selepas itu saya akan beralih ke bidang kejurulatihan. Buat masa ini, saya akan terus berkhidmat bersama Kuala Lumpur,” katanya dalam Stadium Astro.

Sementara itu, Indra menerima penghargaan daripada pihak penaja, 100PLUS sebelum aksi menentang JDT kelmarin sempena meraikan rekod jaringan yang ke 100 beliau.

“Dengan penghargaan yang diberikan oleh pihak penaja dan FAM, ia merupakan satu kebanggaan bagi saya selepas mengharungi karier sebagai pemain bola sepak selama 12 tahun ini.” ujarnya.

Sumber