Pasukan Indonesia dan Vietnam sekadar seri tanpa jaringan 0-0 pada perlawanan pertama separuh akhir Piala AFF 2022 di Stadium Utama Bung Karno.

Aksi kedua dua pasukan berlangsung dengan agak keras. Dengan beberapa siri terjahan kasar dilakukan.

Walaupun Vietnam tampil sebagai pasukan pilihan, namun sebenarnya, pada separuh masa pertama, pasukan kebangsaan Indonesia mempunyai lebih banyak peluang untuk menjaringkan gol.

Dendy Sulistyawan, Marselino Ferdinan, dan Yakob Sayuri adalah nama yang mempunyai peluang keemasan untuk menjaringkan gol menentang Vietnam.

Namun mereka tidak mengambil peluang dengan sebaiknya. Tiada satu pun peluang ini menghasilkan gol.

Sepakan Marcelino dan tandukan Yakob berjaya dinafikan oleh Dang Van Lam.

Manakala Dendy yang mempunyai ruang terbuka untuk melakukan rembatan, tetapi sebaliknya memilih untuk menghantar bola.

Vietnam agak bergelut dalam perlawanan ini pada separuh masa pertama. Mereka cuba mencipta peluang pada akhir babak separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, perlawanan semakin hangat apabila berlaku kekecohan antara kedua-dua pasukan.

Ianya tercetus oleh pelanggaran yang dilakukan oleh Doan Van Hau terhadap Dendy Sulistyawan.

Van Hau sekali lagi berjaya mengaburi pengadil dengan dramanya. Jika ada VAR, mudah sahaja untuk dia mendapat kad kuning atau mungkin merah kerana menapak kaki pemain Indonesia.

Tetapi Van Hau pula yang melebih lebih mengerang kesakitan sambil berguling guling.

Keadaan menjadi panas, namun pengadil dan pemain kedua dua pasukan berjaya mengawal keadaan.

Selepas kekecohan reda, pasukan kebangsaan Indonesia dan Vietnam akhirnya berbalas balas serangan.

Skripnya sama, tiada penyudah berkesan daripada kedua dua pasukan.

Pada minit ke-82, Pratama Arhan cuba merembat kencang dari luar kotak penalti. Tetapi rembatan Arhan pula melambung tinggi di atas gol.

Pada masa kecederaan, rembatan Yakob Sayuri turut tersasar. Sayuri menjadi pemain paling aktif melakukan percubaan namun hasilnya tidak memuaskan.

Akhirnya Indonesia dan Vietnam sekadar seri tanpa jaringan.

Perlawanan kedua akan diadakan di gelanggang keramat Vietnam di Stadium My Dinh. Indonesia pastinya mahu menamatkan kemarau tanpa kejuaraan Piala AFF.

Sementara Vietnam, mereka mahu memberikan hadiah perpisahan bermakna untuk Park Hang Seo dalam kempen terakhir jurulatih legenda itu bersama mereka.