Indonesia gagal mengambil kesempatan beraksi dengan kelebihan seorang pemain selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 bertemu juara enam kali, Thailand pada aksi ketiga Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan tujuh mata tetapi Thailand berada di tangga teratas berikutan kelebihan perbezaan jaringan yang dimiliki.

Aksi pada babak pertama dihadapan puluhan ribu penyokong setia tuan rumah itu bagaimanapun dilihat kurang mendebarkan kerana tiada sebarang ancaman berbahaya dapat dijelmakan selain daripada peluang keemasan dimiliki Witan Sulaeman.

Peluang Witan itu hadir pada minit ke-39 berikutan kesilapan dilakukan penjaga gol, Kittipong Phoothawchuek yang keluar daripada posisinya untuk mendapatkan bola.

Cubaan Kittipong untuk melakukan hantaran kepada rakan sepasukannya berjaya dipatahkan Witan yang kemudiannya meluru pantas ke hadapan, bagaimanapun tolakannya ketika pintu gol sudah pun terbuka luas gagal menuju sasaran diharapkannya.

Permainan pada babak kedua lebih menarik untuk disaksikan apabila Indonesia tampil dengan garang walaupun Thailand masih mengekalkan penguasaan bola.

Penyokong Indonesia melonjak kegembiraan pada ke-50 selepas Marc Klok mudah menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan susulan percubaan Asnawi Mangkualam terkena tangan ketua pasukan, Theerathon Bunmathan dalam kawasan penalti.

Thailand yang dibimbing Mano Polking terus tertekan pada minit ke-62 apabila pemain gantian, Sanrawat Dechmitr dilayangkan kad merah kerana beliau melakukan terjahan keras terhadap Saddil Ramdani.

Kekurangan seorang pemain bagaimanapun tidak langsung mengganggu rentak Thailand untuk menguasai permainan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-79 untuk kembali mengikat kedudukan.

Jaringan itu berpunca daripada rembatan Sarach Yooyen daripada luar kawasan penalti yang membias terkena kaki Ricky Kambuaya lalu memerangkap penjaga gol, Nadeo Argawinata.

Kedudukan terikat itu kekal hingga tamat permainan untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata.

Perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada Isnin depan menyaksikan Indonesia akan berkunjung ke Manila untuk menghadapi Filipina manakala Thailand pula menanti Kemboja.