Naib juara enam kali, Indonesia memulakan kempen Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 dengan nota kemenangan selepas berjaya menundukkan Kemboja 2-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta sebentar tadi.

Beraksi di laman sendiri, barisan pemain Indonesia memulakan aksi dengan cukup garang apabila menjelmakan beberapa serangan berbahaya ke arah pintu gol Kemboja yang dikawal Keo Seksola menerusi Egy Maulana Vikri.

Egy hampir menceriakan kem Indonesia seawal minit kedua tetapi jaringannya dibatalkan kerana beliau terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Beliau kemudiannya mendapat peluang berselang dua minit kemudian, namun tandukan selepas menerima umpanan lintang Pratama Arhan hanya sedikit melewati palang gol.

Kehampaan itu ditebus Egy pada minit ketujuh setelah beliau berjaya menyempurnakan peluang dalam kawasan penalti susulan hantaran lintang Pratama untuk meletakkan Indonesia dihadapan.

Jaringan itu jelas meningkatkan lagi moral anak buah Shin Tae-yong untuk menambah jaringan. Bagaimanapun, Witan Sulaeman hampa apabila rembatan kaki kirinya sekadar singgah di palang gol pada minit ke-14.

Dua minit kemudian, kedudukan kembali terikat selepas tandukan Sareth Krya setelah menerima hantaran Seut Baraing terkena tiang lalu bergolek masuk ke dalam gawang yang dikawal Nadeo Argawinata.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Indonesia memperkemaskan aksi untuk mendapatkan semula kelebihan sebelum melangkah ke bilik persalinan.

Ia membuahkan hasil pada minit ke-35 apabila hantaran jauh Ricky Kambuaya terus mencari Marselino Ferdinan yang menuju pantas di sebelah kiri pintu gol lawan. Marselino kemudiannya melakukan hantaran lintang cantik kepada Witan untuk mudah ditolak masuk pemain yang berkelana di Slovakia itu.

Witan memiliki peluang terbaik untuk menambah jaringan kedua peribadinya pada minit ke-49 tetapi percubaannya ketika hanya berhadapan dengan Soksela tersasar di sebelah kanan.

Aksi selepas itu menyaksikan Indonesia terus mendominasi permainan serta mencipta banyak peluang tetapi penyudah tumpul menggagalkan usaha untuk menambah jaringan bagi perlawanan berakhir dengan 2-1 memihak tuan rumah.