Kejohanan Memanah Barebow Antarabangsa Selangor (SIBAC) telah melabuhkan tirainya setelah berlangsung selama tiga hari di Kompleks Sukan MSN di Nilai, Negeri Sembilan.

Kejohanan memanah ini telah dianjurkan oleh Persatuan Memanah Selangor (SELAR) dan Persatuan Memanah Daerah Petaling (PETALA) sebagai penganjur bersama dengan kerjasama Persatuan Memanah Kebangsaaan Malaysia (NAAM).

Kejohanan yang julung kali diadakan ini menyaksikan persaingan sengit di antara 300 atlet lelaki dan wanita dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina, Singapura dan Brunei.

Kejohanan ini dianggap sebagai kejohanan solo Barebow terbesar dunia dengan penyertaan 7 negara ASEAN dan telah mendapat pujian dari portal web The Barebow Project USA.

Pemanah dari Malaysia khususnya pemanah daerah Petaling telah menjadi antara kumpulan terbesar dalam kejohanan ini. Daerah Petaling diwakili oleh pemanah dari SABBA, CG Murni dan Furqan Archery disamping pemanah lain yang merupakan warga Petaling.

Indonesia tampil unggul sebagai johan keseluruhan dengan merangkul 4 pingat emas sementara Malaysia terpaksa berpuas hati dengan 1 pingat perak dan 2 pingat gangsa.

Pingat perak negara telah diperolehi oleh Faizal Rosli dari Sarawak yang tewas kepada Jetsarit Yodkom dari Thailand manakala pingat gangsa negara pula telah disumbangkan oleh Argus Yusof dari Kuala Lumpur dan pasukan pemanah Wanita Selangor dalam acara berpasukan.

Kejohanan pada skala ASEAN ini bukan perkara mudah dan ianya tidak dapat dilaksanakan tanpa kerjasama erat komuniti Barebow ASEAN.

Komuniti ini sedang giat memandu usaha agar disiplin Barebow diiktiraf sebagai salah satu kategori memanah di dalam Sukan SEA 2025 Thailand atau paling tidak di Sukan SEA 2027, yang mana Malaysia bakal menjadi tuan rumah.

Kejohanan ini dilihat mampu membuka mata pelbagai pihak bahawa Barebow merupakan satu disiplin memanah moden yang setaraf dengan Recurve mahupun Compound.

Jumlah mata dan pencapaian atlet di dalam kejohanan ini juga telahpun menarik tumpuan antarabangsa.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah kejohanan telah disempurnakan oleh Encik Nor Azizan Tarja selaku presiden PETALA, Encik Hj Muhammad Nurwafi selaku wakil SELAR dan Encik Denny Decko, yang mewakili Persatuan Panahan Indonesia (PERPANI).

Majlis penyerahan bendera Komuniti Barebow ASEAN turut berlangsung pada acara penutup kejohanan. Ini merupakan simbolik bahawa kejohanan ini bakal bersambung di Indonesia pada 2024.

Kategori Barebow merupakan kategori memanah moden yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pemanah di seluruh dunia.

Antara ciri-ciri yang menarik tentang barebow ialah busur barebow hanya menggunakan aksesori yang minimal justeru membuatkan kategori ini lebih sukar berbanding Recurve dan Compound.