Gandingan Pearly Tan-M. Thinaah meneruskan rentak konsisten selepas mara ke separuh akhir kejohanan badminton Indonesia Masters 2023 yang berlangsung di Istora Gelora Bung Karno, Jakarta sebentar tadi.

Mereka yang kini menghuni tangga keenam ranking dunia itu tidak berdepan masalah untuk menundukkan wakil dari China, Li Wen Mei-Liu Xuan Xuan dengan kemenangan ‘straight set’ 21-10, 21-12.

Ia juga merupakan pertemuan sulung melibatkan kedua-dua pasangan yang menyaksikan jurang cukup ketara berdasarkan ranking mereka.

Berdepan lawan yang berada di kedudukan ke-93 dunia, gandingan negara itu jelas tidak menghadapi banyak masalah dan mudah mencatatkan kemenangan set pertama 21-10.

Memasuki set kedua, Wen Mei dan Xuan Xuan tampil dengan lebih baik untuk memberikan saingan dimana aksi kejar-mengejar mata dapat disaksikan sebelum rehat ‘interval’.

Namun, pengalaman serta kualiti yang lebih baik dimiliki Pearly dan Thinaah cukup untuk menceritakan segalanya bagi kemenangan 21-12 untuk membawa mereka ke separuh akhir.

Lebih manis untuk diperkatakan, ia merupakan aksi separuh akhir kali kedua berturut-turut ditempah oleh pasangan tersebut selepas mereka melakukannya pada Terbuka India minggu lalu. Namun, perjalanan mereka pada ketika itu terhenti selepas tunduk kepada Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Pemenang pertemuan Sayaka Hirota-Yuki Fukushima (Jepun) menentang gandingan daripada pusingan kelayakan, Tanisha Crasto-Ashwini Ponnapa dari India akan menjadi lawan buat Pearly-Thinaah, esok.