Pemain perseorangan kedua negara, Ng Tze Yong segera melupakan kehampaan pada minggu lalu untuk melangkah ke pusingan kedua kejohanan Indonesia Masters 2023 di Istora Gelora Bung Karno, Jakarta sebentar tadi.

Lawan yang ditundukkan Ng Tze Yong ialah pemain veteran dari Denmark iaitu Hans-Kristian Vittinghus dengan kemenangan ‘straight set’ 21-7. 21-14 dalam tempoh 36 minit.

15 tahun lebih tua berbanding Tze Yong, Vittinghus dilihat tidak mampu untuk memberikan saingan pada set pertama sekali gus menyaksikan pemain ranking ke-28 dunia kelahiran Johor Bahru itu mudah mencatatkan kemenangan 21-7.

Memasuki set kedua, pemain perseorangan keempat Denmark itu cuba untuk memberikan saingan lebih sengit buat Tze Yong tetapi lebih kental bertahan bagi mengesahkan kemenangan 21-14.

Menanti Ng Tze Yong di pusingan kedua ialah pemenang antara dua pemain muda sedang meningkat naik yang menemukan Lakshya Sen (India) dan Kodai Naraoka dari Jepun.

Sementara itu pasangan nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan masalah untuk menewaskan rakan senegara, Boon Xin Yuan-Wong Tien Ci untuk mara ke pusingan kedua selepas menang 21-14, 21-9.

Cabaran lebih getir di pusingan kedua apabila dijadualkan bertemu pasangan yang menewaskan mereka di perlawanan akhir Terbuka India minggu lalu dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Sementara itu pada aksi yang berlangsung semalam juga bagi pusingan pertama, tiga wakil negara mara ke peringkat seterusnya menerusi dua gandingan beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah dan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien serta beregu lelaki, Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong.