Skuad kebangsaan Indonesia terus mengejutkan peminat bola sepak Asia Tenggara apabila menewaskan pasukan di ranking 84 dunia, Curacao dua kali berturut-turut dalam aksi persahabatan antarabangsa.

Sejak dibawah kendalian jurulatih dari Korea, Shin Tae-yong, skuad Garuda itu mempamerkan peningkatan dari segi corak permainan sehingga berjaya layak ke Piala Asia 2023 bulan lalu.

Ketika perlawanan pertama menentang Curacao pada hari Sabtu lepas, mereka mencatat kemenangan 3-2  hasil jaringan pemain naturalisasi, Marc Klok pada minit ke-18, Fachruddin Aryanto (22′), dan Dimas Drajad (56′).

Keputusan tersebut menyaksikan Indonesia telah raih tambahan mata ranking FIFA sebanyak 7.41 sekaligus naik 3 anak tangga ke posisi 153 dunia.

Misi mereka untuk mengatur perlawanan menentang pasukan ranking 100 teratas dunia bukan sahaja untuk memperbaiki kedudukan ranking tetapi memburu pot yang lebih baik dalam undian rasmi Piala Asia 2023 akan datang.

Dalam perlawanan kedua semalam, Indonesia tidak menunggu lama untuk berada di hadapan apabila menjaringkan gol pembukaan seawal minit ke 3 menerusi rembatan Dimas Drajad.

Walaupun Curacao menjaringkan gol penyamaan di separuh masa kedua namun ia langsung tidak mematahkan semangat pemain skuad Garuda sehingga berjaya meledak gol kemenangan pada minit ke 87 menerusi Dendy Sulistyawan.

Kemenangan kedua itu memberikan tambahan mata ranking FIFA sebanyak 7.30 sekaligus mengutip 14.71 mata secara keseluruhan. Ini adalah jumlah mata tertinggi diraih oleh pasukan dari Asia Tenggara pada bulan September.

Dari segi ranking FIFA, Indonesia yang kini berada di ranking 155 dunia dijangka naik 4 anak tangga sehingga ke posisi 151 dunia pada bulan depan.

Peningkatan ini sekaligus meningkatkan keyakinan peminat bola sepak Indonesia terhadap Shin Tae-yong dan mereka mahu jurulatih itu terus kendalikan skuad Garuda dalam tempoh 2 hingga 3 tahun lagi.

Mereka berpeluang berada dalam kelompok 150 dunia jika terus konsisten mencatat kemenangan dalam perlawanan seterusnya.

Menarik untuk disaksikan apakah kejutan yang bakal dilakukan oleh mereka dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 pada penghujung tahun ini.