Skuad Melaka United bakal berangkat ke Bandung, Indonesia untuk menghadapi beberapa beberapa perlawanan persahabatan di sana bagi memastikan mental dan fizikal mereka lebih bersedia sebelum musim baharu Liga Malaysia 2020 membuka tirainya.

Antara pasukan yang bakal menjadi lawan anak buah Zainal Abidin Hassan itu ialah Persib Bandung. Bagaimanapun, mereka akan menghadapi Negeri Sembilan dalam satu perlawanan pemanas badan pada 23 Januari 2020 sebelum berangkat ke Indonesia.

“Di sana kita akan berdepan dengan tiga pasukan, antaranya Persib Bandung.

“Namun sebelum bergerak ke sana, ada perlawanan persahabatan bersama Negeri Sembilan yang telah dijadualkan untuk menguji keseragaman pasukan, terutamanya di bahagian tengah dan serangan,” kata Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Damian Yeo.

Sementara itu, pengendali pasukan, Zainal Abidin Hassan percaya menerusi sekurang-kurangnya lima perlawanan pramusim yang diatur mampu menjadi medan terbaik bagi membentuk barisan pemain yang mantap dan mempunyai keserasian.

“Pada perlawanan pertama pramusim, boleh nampak setakat ini persefahaman masih belum kelihatan dan saya telah jangka ia berlaku contohnya seperti pemain import baharu daripada Haiti, Sony Norde hanya sempat berlatih dua hari.

“Setakat ini kita boleh lihat ada ketikanya persefahaman menjadi dan ada kala tidak menjadi,” katanya

82274053_2697209917173733_3239794415211905024_o
FOTO: Melaka United

Dalam perlawanan persahabatan kelmarin, Melaka United menewaskan UKM FC 2-0 menerusi dua pemain import mereka, Romel Morales pada minit ke-16 dan Jang Suk Won minit ke-74.

Zainal Abidin berkata, kini tugas pentingnya adalah menyatukan anak-anak buahnya bermain sebagai satu pasukan yang padu.

“Kami akan pulang dari Indonesia pada 9 Februari, kalau saya tidak berpuas hati dengan persembahan pemain di sana, kami akan mengatur satu lagi perlawanan persahabatan untuk memperbaiki prestasi mereka,” jelasnya.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan pasukan Liga Malaysia musim 2020 melalui pautan dibawah.

Kedah Lancar Kit Jersi Ketiga Untuk Saingan Kelayakan AFC Champions League 2020

Amri Yahyah Bakal Sertai Skuad The Red Warriors?

Felda United Dinobatkan Sebagai Juara Piala Edy Rahmayadi 2020