Menteri Belia dan Sukan Indonesia (Menpora), Zainudin Amali mengesahkan Indonesia telah membuat permohonan rasmi kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk membida hak sebagai tuan rumah Piala Asia 2023.

Bidaan menganjurkan Piala Asia 2023 telah dibuka kepada semua anggota persatuan bagi menggantikan tempat China yang menarik diri kerana peningkatan kes COVID-19.

Hasrat Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) untuk menjadi tuan rumah Piala Asia 2023 turut mendapat sokongan daripada kerajaan Indonesia termasuk Kementerian Belia dan Sukan.

“Ada permohonan dari PSSI untuk jadi tuan rumah Piala Asia. Kerajaan sudah bersetuju dan mempersilakan jadi tuan rumah.

“Hasilnya akan dilihat nanti kerana Korea, Jepun dan Australia juga berminat jadi tuan rumah.  Kita menyokong PSSI jika mereka mahu jadi tuan rumah,” kata Zainudin melalui kenyataan dalam CNN Indonesia. 

Menpora juga mengesahkan Presiden Indonesia, Joko Widodo turut mengetahui rancangan untuk menjadi tuan rumah Piala Asia 2023 dan membenarkan PSSI membuat permohonan rasmi kepada AFC.

“Saya langsung laporkan kepada Presiden untuk meminta arahan. Kata beliau, sila lah, kita akan memohon.

“Hari ini (semalam) mereka akan ke AFC. Nanti mereka akan menyampaikan surat rasmi daripada PSSI untuk menjadi tuan rumah. Ini peluang yang bagus, kita menjadi peserta sekaligus jadi tuan rumah,” tambah Zainudin Amali.

Bagi skuad Indonesia, ini adalah penampilan kelima mereka dalam Piala Asia selepas edisi 1996, 2000, 2004, dan 2007.

Tempoh akhir menghantar permohonan rasmi sebagai tuan rumah Piala Asia 2023 sepatutnya pada 30 Jun ini namun AFC mengumumkan ia telah dilanjutkan sehingga 15 Julai bagi membolehkan mereka meneliti setiap permohonan daripada negara anggota.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John minggu lalu mendedahkan tuan rumah Piala Asia 2023 akan diumumkan secara rasmi pada bulan Oktober 2022.

“Keputusannya dijangka diketahui pada 17 Oktober nanti. Bagi undian pula, belum ada tarikh tetapi kebiasaannya akan dilakukan lima atau enam bulan sebelum pertandingan,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Australia Sedia Jadi Tuan Rumah Piala Asia Dengan Syarat AFC Anjak Ke Tahun 2024

Korea Selatan Hantar Permohonan Rasmi Bida Hak Tuan Rumah Piala Asia 2023