Indonesia berpotensi kehilangan hak sebagai tuan rumah kejohanan bola sepak Piala Dunia bawah 20 tahun (B-20) apabila bertindak membatalkan undian rasmi yang sepatutnya berlangsung pada hari jumaat ini, 31 Mac 2023 di Bali.

Keputusan itu terpaksa dibuat kerana Gabenor Bali dan beberapa badan bukan kerajaan di Indonesia (NGO) membantah kehadiran skuad kebangsaan Israel  dalam saingan Piala Dunia B-20 yang bermula pada 20 Mei hingga 11 Jun ini.

Lebih merumitkan, Iraq juga tidak mahu diundi satu kumpulan bersama Israel sebagai tanda solidariti untuk Palestin.

Indonesia sebagai tuan rumah telah memilih enam negeri sebagai venue Piala Dunia B-20 tahun iaitu Jakarta, Bali, Sumatera Selatan, Jawa Barat, Jawa Tengah serta Jawa Timur.

Gabenor Bali iaitu I Wayan Koster kemudiannya menghantar surat kepada Menteri Belia dan Sukan negara itu, Zainudin Amali yang menegaskan beliau menolak Israel untuk beraksi di Bali.

Pembatalan Majlis Undian rasmi itu bakal mengundang hukuman berat daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan skuad Indonesia mungkin tidak dibenarkan beraksi dalam Piala Dunia B-20.

Malah, Qatar juga dilaporkan sudah bersedia untuk menggantikan tempat Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20. Negara itu dipilih berdasarkan pengalaman mereka menganjurkan Piala Dunia 2022 pada tahun lepas.

Dengan status Qatar sebagai tuan rumah, skuad Indonesia kendalian Shin Tae-yong tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Piala Dunia B-20 kerana tempat mereka telah digantikan oleh pasukan Qatar B-20.

Selain Qatar, Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) juga sedia menjadi tuan rumah Piala Dunia B-20. Skuad Argentina B-20 gagal layak ke Piala Dunia selepas tersingkir awal daripada peringkat kumpulan saingan Copa America B-20 tahun lepas.

Antara alasan Argentina untuk memohon menjadi tuan rumah ialah mereka mahu membuat persiapan awal untuk menuju misi menjadi tuan rumah Piala Dunia 2030.

Sehingga artikel ini ditulis, belum ada kenyataan rasmi daripada FIFA dan badan induk bola sepak dunia itu dijangka akan membuat keputusan mengenai status Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20 dalam masa terdekat.