Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI), Yunus Nusi mengesahkan pihaknya akan menghantar pasukan kebangsaan ke Turki untuk kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi Piala Suzuki AFF 2020 yang dijadualkan berlangsung pada bulan Disember ini.

Bukan sahaja skuad senior, pasukan bawah 18 tahun turut menyertai kem latihan tersebut sebagai persiapan untuk Piala Dunia B-20 pada tahun 2023.

“Insya Allah November ini, pasukan kebangsaan Indonesia dan bawah 18 tahun akan menjalani kem latihan pusat di Turki.

“Kerana Shin Tae-yong juga merupakan jurulatih skuad bawah 18 tahun, jadi kita bawa dua pasukan sekaligus di sana,” kata Yunus Nusi dipetik dalam Bola Sport. 

Dalam saingan Piala AFF, skuad Garuda berada dalam satu kumpulan bersama Malaysia, Vietnam, Laos dan Kemboja. Selain Indonesia, pasukan Myanmar turut menjalani latihan di Turki dan kemungkinan perlawanan persahabatan diantara dua pasukan itu akan diadakan.

Semua perlawanan Piala Suzuki AFF 2020 akan berlangsung di Singapura bermula pada 5 Disember 2021 sehingga 1 Januari 2022.

“Mereka akan berangkat ke Turki pada 18 November sampai 3 Disember. Nanti pasukan Indonesia akan terus terbang ke Singapura untuk Piala AFF manakala pasukan bawah 18 tahun akan pulang ke Indonesia pada 3 Disember,” jelas Yunus.

Bulan lepas, Indonesia menewaskan Chinese Taipei dalam saingan play-off kelayakan Piala Asia 2023 dengan aggregat 5-1. Mereka menang 2-1 pada perlawanan pertama dan 3-0 dalam pertemuan kedua di Chang Arena, Buriram.

Kemenangan tersebut turut meningkatkan semangat pemain Indonesia untuk mara lebih jauh dalam saingan Piala Suzuki AFF 2021.

Namun begitu, ketua jurulatih, Shin Tae-yong bersikap realistik mahu anak buah melangkah ke separuh akhir walaupun PSSI meletak sasaran juara pada tahun ini.

“Keinginan saya mahu capai separuh akhir Piala AFF. Memang sukar, tetapi kemenangan adalah ubatnya yang mujarab.

“Pemain sudah faham corak permainan yang saya mahukan. Kalau prestasi sudah meningkat, secara taktikal akan ditingkatkan lagi dan bakal menjadi pasukan yang lebih baik daripada sekarang,” jelas Tae-yong dipetik dalam portal bola sepak Indonesia.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Stadium Nasional Dan Stadium Bishan Dipilih Sebagai Venue Rasmi Piala Suzuki AFF 2020

Park Hang-seo Anggap Undian Piala AFF Biasa Saja, Tiada Yang Istimewa

Fandi Ahmad Sifatkan Malaysia Bertuah Miliki Luqman Hakim Dan Arif Aiman