Pasukan kebangsaan Indonesia berhasrat mahu memberikan tentangan sengit dalam saingan peringkat kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pusingan kedua apabila berencana untuk mengambil khidmat 3 pemain naturalisasi yang ketika ini beraksi dalam saingan liga domestik negara itu.

Sebelum ini, pemain pertahanan Persebaya Surabaya, Otavio Dutra yang beraksi di liga Indonesia sejak 2010 semakin hampir untuk mendapatkan status sebagai pemain naturalisasi dimana kerajaan tempatan sedang memproses permohonan beliau dan kini hanya menunggu surat Keputusan Presiden (Keppres) bagi mendapatkan kerakyatan Indonesia.

Menurut laporan Bolalob, tiga lagi pemain akan menyusul Otavio sekaligus bakal memperkuatkan skuad Garuda dalam saingan peringkat kelayakan kali ini. Tiga pemain yang dimaksudkan ialah pemain PSM Makassar, Marc Klok (Belanda), Hilton Moreira (Brazil) dan pemain pertahanan Persib Bandung Fabiano Beltrame (Brazil).

Marc Klok
Sumber Gambar: Goal.com

Ketiga-tiga pemain ini bukanlah satu nama yang asing dalam arena bola sepak Indonesia dimana Klok beraksi bersama PSM sejak 2017 dan beliau juga pernah diuji dalam beberapa perlawanan persahabatan oleh ketua jurulatih pasukan, Simon McMenemy. Hilton pula memulakan karier di Indonesia sejak 2007 manakal Beltrame beraksi sejak 2005.

Selain tiga nama di atas, dua lagi nama yang menghantar permohonan untuk menjadi pemain naturalisasi dikhabarkan ditolak oleh Kementrian Belia dan Sukan Indonesia (Menpora). Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Menpora, Gatot S Dewa Broto yang mengatakan Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia (Kemenkumham) Indonesia sudah menolak proses naturalisasi dua pemain terbabit.

“Ada pemain dari Sriwijaya FC, Kalteng Putra, Barito Putra, Madura United, PSM Makassar dan Persib Bandung. Setetlah kami bawa dokumen kepada Kemenkumham, dua pemain ditolak permohonannya dan pihak kelab juga sudah sedia maklum mengenai perkara tersebut,” kata Gatot.

Irfan Bachdim
Aksi Irfan ketika bersama skuad kebangsaan Indonesia.
Sumber Gambar: Striker.Id

Skuad kebangsaan Indonesia sememangnya terkenal dengan pengambilan pemain naturalisasi dalam skala besar dimana pemain seperti Christian Gonzales, Irfan Bachdim, Beto Goncalves, Jhon van Beukering dan Ilija Spasojevic pernah menyarung jersi pasukan itu.

Dalam saingan peringkat kelayakan, Indonesia diletakkan dalam kumpulan G bersama UAE dan tiga lagi seteru Asia Tenggara iaitu Malaysia, Thailand dan Vietnam.