Pemain kelahiran Belgium, Sandy Walsh bakal menjadi pemain naturalisasi baharu skuad kebangsaan Indonesia apabila ketua jurulatihnya, Shin Tae-yong dikhabarkan berminat untuk memanggil bekas pemain Genk itu.

Beliau sepatutnya dinaturalisasikan pada tahun 2018 ketika Indonesia beraksi dalam sukan Asia namun ketua jurulatih ketika itu, Luis Milla tidak dapat menggunakan khidmat pemain tersebut kerana belum dapat status warganegara Indonesia yang sah.

Bagaimanapun, dalam temubual bersama media Belgium baru baru ini, Sandy Walsh mengakui proses naturalisasinya kini sedang berjalan dan beliau sudah pun berkomunikasi dengan pihak Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).

PSSI dijangka akan menghantar dokumen rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) pada januari tahun depan untuk membenarkan pemain yang berusia 25 tahun itu beraksi dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Jika saya ingin menyertai pasukan kebangsaan, itu adalah Indonesia. Saya memiliki hubungan rapat dengan PSSI dan ketua jurulatih Indonesia mahu saya berada di sana.

“Pada Januari nanti, PSSI akan mengadakan pertemuan dengan FIFA untuk menyerahkan dokumen saya. Jika FIFA setuju, saya akan tukar passport Belanda kepada Indonesia dan bersedia untuk dipanggil menyertai skuad Garuda,” katanya.

Sandy Walsh telah pun beraksi dengan skuad kebangsaan Belanda bawah 15 tahun sehingga bawah 20 tahun. Pencapaian terbaik beliau ialah menjuarai Piala Eropah UEFA B-17 pada tahun 2012. Namun setakat ini, Sandy belum berpeluang untuk menyertai skuad senior Belanda.

Produk akademi Anderlecht ini sempat menganggur selama 5 bulan sebelum ditawarkan kontrak untuk menyertai kelab divisyen 1 Belgium, KV Mechelen.

“Saya tidak memiliki kelab selama lima bulan. Saya merasa aneh tidak dapat menyertai mana-mana pasukan baharu. Saya bersyukur KV Mechelen memberi saya peluang untuk meneruskan karier bola sepak,” ujar Sandy Walsh.

“Saya bermain seolah-olah itu perlawanan terakhir saya. Setiap pertandingan saya ingin membuktikan diri saya mampu melakukannya. Saya percaya dengan kemampuan diri dan berada dalam prestasi yang tepat,” tambahnya.

Jika proses naturalisasi beliau berjalan lancar, Sandy Walsh merupakan pemain kedua yang dinaturalisasikan oleh PSSI selepas bintang Persija Jakarta, Marc Klok pada bulan lalu.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia. 

Pemegang Rekod Gol Paling Banyak AFC Cup, Bienvenido Maranon Bakal Muncul Pemain Naturalisasi Terbaharu Filipina

Bintang Muda Indonesia, Bagus Kahfi Bakal Sertai Kelab Belanda, FC Utrecht

Tampines Rovers Tempah Tiket Ke Saingan AFC Champions League 2021