Dua calon pemain naturalisasi Indonesia, Justin Hubner dan Ivar Jenner, dilaporkan sudah tiba di Jakarta. Kedua-dua pemain muda tersebut datang dari Belanda dan difahamkan dalam proses untuk menyelesaikan dokumentasi.

Kehadiran mereka diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) dan khidmat dua pemain tersebut sangat diperlukan untuk memperkuatkan skuad bawah 20 tahun negara itu.

“Selamat datang Justin Hubner dan Ivar Jenner di Indonesia!” tulis PSSI.

Menurut laporan daripada VFC Indonesia, dua pemain tersebut bersetuju untuk dinaturalisasi dan berpeluang menyarung jersi skuad B-20 Indonesia bagi menghadapi saingan Piala Dunia B-20 tahun depan.

Malah, dua pemain tersebut juga dipilih sendiri oleh ketua jurulatih, Shin Tae-yong kerana saingan Piala Dunia B-20 sangat berbeza serta memerlukan beberapa pemain berkualiti untuk bersaing dengan pasukan kuat.

“Saya sudah memberikan nama ini. Ketua Umum PSSI (Mochamad Iriawan) mengatakan akan membantu prosesnya agar boleh berlangsung dengan cepat,” kata Shin Tae-yon dipetik dalam IDN Times. 

Ivar Jenner kini beraksi dengan skuad Utrecht B-21 dan mempunyai darah Indonesia dari sebelah neneknya. Beliau juga pernah menyarung jersi skuad kebangsaan Belanda B-15.

Manakala Justin Hubner memiliki darah Indonesia dari sebelah ayahnya dan kini beraksi dengan kelab EPL, Wolves B-21. Malah, pemain itu juga berstatus pemain skuad kebangsaan Belanda B-19 dan turut terlibat dalam saingan Kelayakan Piala Eropah B-19.

Keputusan dua pemain tersebut untuk memilih Indonesia juga cukup mengejutkan peminat bola sepak di negara seberang kerana dua-duanya hadir dengan pengalaman menyarung jersi Belanda.

Selain Hubner dan Jenner, ada beberapa lagi pemain keturunan Indonesia yang lain turut menjadi buruan Shin Tae-yong. Mereka adalah Justin Gooijer (Ajax Amsterdam B-21) dan Delano van der Heijden (Feyenoord Rotterdam B-21).