Setiap musim, isu pengadil tidak pernah gagal untuk mewarnai saingan Liga Malaysia dimana terdapat kontroversi dan insiden yang membabitkan individu digelar man in the middle itu.

Sebutkan saja jenis kejadian seperti gol yang tidak dibenarkan, kad kuning atau kad merah yang tidak sepatutnya dan keputusan-keputusan lain yang dianggap merugikan pasukan bertanding. Isu pengadil sememangnya sudah sebati dengan saingan Liga Malaysia.

Baru-baru ini, seorang pengguna laman media sosial Twitter membuat pendedahan realiti pahit yang dialami oleh kebanyakan pengadil dalam negara dan mengapa saingan liga domestik tidak memiliki pengadil tetap.

“Sedih tetapi benar. Sebab tu kita tak ramai pengadil sepenuh masa kerana gaji yang berada di bawah gaji minimum. Mahu atau tidak mereka harus ada kerja tetap sambil menjadi pengadil secara secara sambilan.

“Perkara ini menyebabkan kurang fokus pengadil kita. Belum lagi kita ambil kira perkara lain seperti wisel, bendera, alat komunikasi dan spray. Ini semua menggunakan duit pengadil sendiri,” kata individu terbabit.

Antara insiden yang melibatkan pengadil dalam saingan Liga Super ialah ketika perlawanan antara Sri Pahang menentang Sabah dimana pemain Sabah dijatuhkan dalam kawasan penalti oleh pemain lawan namun pengadil perlawanan, Noor Azriel Baharudin tidak memberikan sepakan penalti kepada mereka.

Satu lagi insiden yang mendapat perhatian ramai ialah ketika perlawanan antara Penang menentang Sabah dimana Zulkarnain Zakaria yang diberi tanggungjawab untuk mengendalikan perlawanan membuat beberapa keputusan yang dianggap merugikan Penang.

Antara keputusan yang dianggap kontroversi oleh Zulkarnain ialah beliau menghadiahkan dua sepakan penalti kepada Sabah pada separuh masa pertama dan kedua yang dianggap tidak munasabah.

Tidak lama selepas itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah membuat keputusan untuk mengenakan hukuman penggantungan secara serta-merta kepada Zulkarnain Zakaria daripada mengadili sebarang perlawanan liga domestik musim ini.

Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM yang diketuai oleh Dato’ S. Sivasundaram telah sebulat suara mendapati bahawa pengadil perlawanan tersebut, Zulkarnain Zakaria telah terkhilaf dalam mengintepretasi dua situasi pemberian sepakan penalti olehnya kepada pasukan Sabah pada minit 41 dan minit 90+9.