Laporan daripada media antarabangsa mengesahkan India telah menghantar permohonan rasmi kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk membida hak sebagai tuan rumah Piala Asia pada tahun 2027.

AFC sebelum ini mengeluarkan kenyataan rasmi melanjutkan tempoh sehingga 3 bulan kepada setiap anggota untuk menghantar bidaan hak tuan rumah masing-masing.

Disebabkan seluruh dunia terjejas susulan penyebaran wabak COVID-19, AFC mengumumkan tarikh 31 Mac 2020 hingga 30 Jun kepada negara yang berminat untuk menghantar permohonan rasmi menjadi tuan rumah kejohanan berprestij Asia itu.

“Kami telah menghantar permohonan rasmi kepada AFC mengikut dokumen yang diperlukan,” kata Setiausaha Agung Federasi Bolasepak India (AIFF), Kushal Das.

Selain India, Arab Saudi yang tidak pernah menganjurkan kejohanan tersebut telah mengesahkan permohonan mereka pada minggu lalu untuk menjadi tuan rumah.

Korea Selatan yang merupakan tuan rumah Piala Dunia Wanita 2023 dijangka akan menyertai dua negara ini dalam bidaan hak penganjuran Piala Asia 2027. 

India juga pernah menyertai bidaan hak penganjuran Piala Asia 2023 bersama Thailand, Indonesia dan Korea Selatan, namun mereka menarik diri pada bulan Oktober 2018.

Untuk Piala Asia 2023, AFC sudah pun mengumumkan China sebagai tuan rumah rasmi dimana perlawanan akan berlangsung di 10 bandaraya yang terpilih.

Selepas berjaya menganjurkan Piala Dunia B-17 pada tahun 2017, India juga telah dipilih oleh FIFA sebagai tuan rumah Piala Dunia Wanita B-17 yang akan berlangsung pada bulan November 2020.

Namun, tarikh perlawanan belum ditetapkan susulan penyebaran wabak pandemik COVID-19. Mereka juga telah memenangi bidaan hak penganjuran Piala Asia Wanita pada tahun 2022. 

AFC berharap dapat mengumumkan tuan rumah Piala Asia 2027 secepat mungkin untuk memberi lebih banyak masa kepada negara yang terpilih untuk membuat persediaan menganjurkan kejohanan yang disertai oleh 24 pasukan itu.

Baca artikel lain mengenai penganjuran Piala Asia 2027 seperti yang dilaporkan sebelum ini.

FAM Tidak Berminat Bida Hak Sebagai Tuan Rumah Piala Asia 2027

Arab Saudi Berminat Jadi Tuan Rumah Piala Asia 2027