Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) meminta badan induk dunia, FIFA menarik balik penggantungan yang dikenakan terhadap mereka minggu lalu ekoran campur tangan pihak ketiga dalam organisasi tersebut.

Penggantungan ini memberi kesan yang besar dimana skuad kebangsaan India tidak dibenarkan beraksi dalam mana-mana pertandingan yang dianjurkan oleh ahli FIFA seperti Piala Asia 2023 selain tidak boleh menganjurkan temasya Piala Dunia Wanita B-17 tahun.

Bagaimanapun, AIFF mahu FIFA batalkan hukuman penggantungan tersebut selepas mandat jawatankuasa yang mahkamah negara itu lantik untuk mentadbir sukan itu, ditamatkan minggu ini.

Isnin lalu, Mahkamah Agung India memutuskan bahawa mandat jawatankuasa itu telah ditamatkan dan pengurusan harian hal ehwal bola sepak negara itu akan diserahkan semula kepada AIFF.

Dalam surat yang dihantar kepada Setiausaha Agung FIFA, Fatma Samoura, pada hari Selasa, AIFF memaklumkan badan induk dunia mengenai keputusan mahkamah itu.

“Kami meminta FIFA untuk mempertimbangkan semula keputusan mereka menggantung AlFF.

“Memandangkan syarat-syarat yang ditetapkan dalam surat anda untuk menarik balik pendirian penggantungan itu dipenuhi, kami meminta agar perintah itu diluluskan secepat mungkin agar AIFF dapat meneruskan kelancaran bola sepak di India,” tulis pemangku Setiausaha Agung AIFF, Sunando Dhar.

FIFA dijangka akan memberi jawapan muktamad dalam tempoh beberapa hari lagi.

Selain pasukan kebangsaan, kelab India yang beraksi dalam saingan AFC Champions League (ACL) dan Piala Asia juga tidak dibenarkan untuk meneruskan aksi dalam saingan tersebut.

Kelab Liga Super India, ATK Mohun Bagan dijadualkan bertemu wakil Malaysia, KL City di separuh akhir Antara Zon Piala AFC 2022 pada 7 September ini namun jika penggantungan itu masih diteruskan sehingga hari perlawanan, KL City akan layak ke final Antara Zon secara percuma.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Penyokong PSM Makassar Cedera Diserang, Cermin Bas Turut Pecah

Undian Piala AFF 2022: Malaysia Berada Dalam Balang 2 Bersama Indonesia

Presiden Buriram United Enggan Hantar Pemain Muda Sertai Skuad Kebangsaan

ACL 2022: Urawa Red Terlalu Unggul, Perjalanan JDT Terhenti Di Saitama

FIFA Gantung India Kerana Campur Tangan Pihak Ketiga