Bekas pemain Manchester United, Paul Ince jelas amat tidak menggemari tingkah laku yang ditunjukkan oleh Cristiano Ronaldo dalam meluahkan rasa tidak puas hatinya.

Seperti yang tular di media sosial tempoh hari, Ronaldo kelihatan cukup berang selepas Manchester United tumpas 0-4 ditangan Brentford yang menyaksikan pemain berusia 37 tahun itu hanya melangkah masuk ke bilik persalinan tanpa bersalaman dengan pengurus pasukan, Erik ten Hag.

Satu keadaan yang secara tidak langsung memberikan imej buruk buat Ronaldo kerana beliau cukup dikenali sebagai seorang pemain dengan pakej disiplin serta motivasi tinggi.

Karim Benzema: Perpindahan Cristiano Ronaldo Buatkan Saya Lebih Bercita-Cita Tinggi

Sehubungan dengan itu, Ince yang beraksi bersama United pada musim 1989 hingga 1995 berkeras mahu pemenang lima kali Ballon d’Or tersebut meninggalkan The Red Devils.

Malah, beliau turut membandingkan sikap buruk yang telah dilakukan oleh Ronaldo dengan seteru ketatnya dari Argentina, Lionel Messi.

“Jika dia [Cristiano Ronaldo] berada di bilik persalinan United ketika saya bermain dengan pemain seperti Roy Keane dan Steve Bruce, kami tidak akan bersabar dengannya.”

“Dia juga tidak akan dapat melepaskan diri daripada hukuman berikutan kesalahan dilakukannya,” ujar Ince menurut laporan Goal.

“Meninggalkan Ronaldo daripada kesebelasan utama [ketika bertemu Liverpool] adalah satu perkara yang penting kerana ia menunjukkan kepada orang ramai bahawa mereka boleh hidup tanpa Ronaldo.”

“Dia telah menjadi gangguan kepada semua orang di Manchester United. Anda tidak akan melihat Lionel Messi bertindak seperti apa yang kadang-kadang dilakukannya.”

“Ronaldo perlu untuk meninggalkan Manchester United,” tambah Paul Ince lagi.

Sebelum ini, ten Hag turut menyuarakan kekesalannya terhadap sikap Ronaldo yang meninggalkan stadium sebelum perlawanan persahabatan bertemu Rayo Vallecano tamat.

Kredit Featured Image: Manchester United