Sri Pahang terus menambah luka buat Perak apabila berjaya mencatatkan kemenangan 3-2 pada perlawanan ke-13 saingan Liga Super Malaysia yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh, sebentar tadi.

Kemenangan penting yang dicatatkan tersebut sekali gus menyaksikan skuad bimbingan Dollah Salleh itu memperbaiki kedudukan ke tangga kesembilan manakala Perak pula kini hanya dibezakan satu anak tangga dengan zon penyingkiran.

Lebih menarik, kedua-dua pasukan terikat dengan 12 mata tetapi Sri Pahang memiliki kelebihan perbezaan jaringan.

Perak yang masih diselubungi kekecewaan berikutan kehilangan dua tonggak utama, Shahrul Saad dan Guilherme De Paula susulan kemelut kewangan dihadapi memulakan perlawanan dengan baik.

Ia dibuktikan apabila Nana Poku mendapat peluang terbaik untuk mencipta jaringan seawal minit kelapan tetapi percubaan penyerang kelahiran Ghana itu sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Sri Pahang.

Tidak mahu terus ditekan tuan rumah, Sri Pahang memperkemaskan aksi untuk menjelmakan jaringan dan ternyata tonggak import baharu dari Argentina, Manuel Federico Hidalgo Gasparini merupakan duri dalam daging buat Perak pada perlawanan ini.

Pemain berusia 22 tahun itu menggunakan kemahiran tinggi serta kelincahan dimiliki bagi memberikan masalah buat barisan pemain pertahanan Perak yang dikepalai Idris Ahmad dan Shakir Hamzah.

Bermula daripada gerakan lincahnya dari sebelah kiri pintu gol Perak, Hidalgo melakukan hantaran di hadapan pintu gol sehingga menyebabkan keadaan kelam-kabut sekali gus peluang itu digunakan sepenuhnya Aung Kaung Mann untuk meledakkan rembatan padu bagi membuka tirai jaringan pada minit ke-34.

Jaringan kedua pasukan pelawat hadir pada minit ke-58 selepas seorang lagi pemain import baharu, Kenjok ‘Kenny’ Athiu menyudahkan peluang berikutan hantaran lintang rendah dilakukan Abdul Malik Mat Ariff.

Berselang 10 minit kemudian, Leandro Dos Santos merapatkan jurang gol susulan sepakan penalti yang disudahkannya setelah Faisal Rosli melakukan kekasaran terhadap Shakir Hamzah dalam kawasan penalti.

Dalam Perak berusaha keras bagi mendapatkan jaringan penyamaan, Kenny sekali lagi meletakkan nama selaku penjaring apabila beliau dengan tenang melakukan tandukan lambung yang hanya mampu dilihat penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam pada minit ke-88.

Ketika perlawanan tidak sampai seminit untuk ditamatkan, Perak mendapatkan jaringan kedua menerusi Raianderson Da Costa Morais (Careca) tetapi jaringan itu tidak mampu untuk menghalang kemenangan Sri Pahang pada malam ini.