Pemain tengah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim akhirnya berpeluang tampil dalam saingan AFC Champions League musim ini apabila skuad Harimau Selatan akan memulakan kempen mereka menentang Nagoya Grampus dari Jepun malam esok.

JDT telah bertanding dalam dua edisi sebelumnya namun Safiq tidak bersama pasukan itu setelah memenangi banyak kejuaraan termasuk Piala AFC dari tahun 2013 hingga 2018. Beliau akhirnya kembali semula bersama pasukan itu tahun ini.

“Bersaing di Liga Juara-Juara AFC seolah mimpi yang menjadi kenyataan bagi saya. Ini sesuatu yang sentiasa ingin saya lakukan sepanjang karier saya dalam kelab dan ini akan menjadi yang pertama bagi saya,” katanya kepada AFC.

“Ini akan menjadi salah satu detik terbaik dalam karier saya kerana ia merupakan peringkat tertinggi pertandingan kelab Asia. Saya harap dapat memberikan yang terbaik, yang paling baik untuk pasukan terutama bos saya, untuk JDT, dan semoga kita dapat memperoleh beberapa keputusan yang baik dan mencapai apa yang kita mahukan dalam edisi ini,” tambahnya.

Safiq juga menjangkakan setiap perlawanan akan berlangsung sengit dan menggesa pasukannya untuk berada pada tahap terbaik kerana semua pasukan tekad pamerkan prestasi cemerlang untuk mara ke pusingan yang seterusnya.

“Syukur, kami dalam keadaan yang baik. Semua pemain kebangsaan telah kembali dari kelayakan Piala Dunia. Diharapkan agar kami boleh membuat persiapan yang terbaik bagi menghadapi pertandingan.

“Perlawanan pertama sangat penting dalam mana-mana pertandingan. Nagoya Grampus merupakan pasukan yang bagus. Paling penting ialah bagaimana kami bersedia dan bagaimana cara kami bermain. Tiada perlawanan yang mudah dan kami perlu sentiasa berusaha melakukan yang terbaik setiap masa,” jelasnya.

Selain JDT dan Nagoya Grampus, kumpulan G turut dianggotai oleh Pohang Steelers dari Korea Selatan dan wakil tuan rumah, Ratchaburi FC.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak asia melalui pautan dibawah.

AFC Bercadang Batalkan Saingan Piala AFC Zon Asean

Pelakon Dan Penyanyi Popular Thailand Sertai Ratchaburi FC Dengan Kontrak Selama 6 Bulan

Peminat Thailand Gesa Skuad Kebangsaan Guna Khidmat Pemain Naturalisasi