Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkongsi impian beliau untuk Malaysia yang akan beraksi dalam temasya Piala Asia 2024.

Dalam satu temu bual bersama Vocket FC baru-baru ini, Datuk Hamidin menegaskan beliau berharap Malaysia dapat melayakkan diri ke peringkat 16 pasukan terakhir ketika temasya Piala Asia 2024 untuk menjadi antara pesaing bagi merebut tiket ke temasya yang lebih besar iaitu Piala Dunia.

“Ketika ini pasukan kita berada di ranking ke-25 di Asia ketika ini. Pada September dan Oktober akan bermula kelayakan bagi Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico serta Piala Asia 2027 di Arab Saudi dimana format akan sedikit berbeza. Isu di sini, slot untuk Asia pada Piala Dunia akan datang ialah 8+1. Jadi 9 negara dari 47 negara di Asia berpeluang untuk mara ke temasya itu.

Datuk Hamidin Malaysia Piala Asia 2024
Sumber Gambar: FAM

“Jika kita ambil kira dari sudut matematik, saya sasarkan dalam dua atau tiga tahun kita akan berada di kalangan 15 pasukan terbaik Asia. Sekiranya kita berada di tahap tersebut, barulah kita boleh hidu peluang untuk layak ke Piala Dunia. Kalau kita lihat nanti di Piala Asia di Doha, kita berada di pot terakhir namun kita berada di kalangan pasukan terbaik Asia.

“Sudah tentu pasukan dari pot 1 adalah laluan yang sukar untuk kita. Tetapi untuk pot 2 dan 3, mungkin kita boleh bersaing. Pentingnya temasya di Doha nanti kita mesti membawa mata. Sasaran kita kalau dapat masuk 16 pasukan terbaik, itu adalah satu pencapaian yang terbaik.

“Peminat perlu sedar dimana kedudukan kita sekarang. Apa yang penting ialah kita terus meningkat walaupun secara perlahan-lahan. Tujuh pasukan mungkin akan diisi oleh pasukan kuat seperti Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi, Qatar dan Australia. Selebihnya mungkin diisi oleh pasukan seperti Bahrain, Syiria dan Uzbekistan. Ini adalah pasukan yang kita perlu bersaing.

“Tidak mustahil namun dengan syarat kita perlu konsisten dan perlu meningkat. Jadi Piala Asia 2024 ini sangat penting. Kalau layak ke pusingan 16 pasukan terakhir, maka ia satu perkara yang bagus. Itu adalah impian kita,” kata Datuk Hamidin.

Tambahnya, semua pihak perlu memainkan peranan khususnya pasukan Liga Malaysia bagi memastikan pasukan negara sentiasa dibarisi oleh pemain terbaik bagi menuju ke sasaran yang telah ditetapkan.