Kemasukan pemain bintang pasukan kebangsaan Vietnam, Nguyen Cong Phuong dalam sebuah pasukan yang beraksi dalam saingan Belgium First Division A (liga divisyen 1 Belgium), Sint-Truiden VV (STVV) telah membawa impak yang besar pada kelab tersebut.

Laman facebook rasmi kelab itu kini mencatat jumlah peningkatan yang ketara dari segi pengikut dan menjadi rujukan peminat dari Vietnam untuk mengikuti perkembangan pemain kesayangan mereka.

Cong Phuong yang pernah beraksi untuk kelab dari Korea Selatan, Incheon United menyertai Sint-Truiden VV secara pinjaman selama 1 musim sejak bulan lepas. Sebelum ini VocketFC pernah melaporkan beliau meninggalkan kelab Incheon United selepas berjaya melakukan 8 penampilan bersama skuad Blue-BlackĀ bagiĀ menyertai sesi percubaan dengan kelab divisyen 2 Perancis.

Bagaimanapun, Chong Phuong gagal mendapat tempat di Perancis dan memilih untuk berhijrah ke Belgium.

Sebelum ini, laman facebook STVV hanya mempunyai sekitar 31,000 pengikut dan jumlah itu kini meningkat kepada 76,000 sejak Chong Puong membuat penampilan pertama ketika menentang Club Brugge dalam saingan Liga Belgium minggu lalu.

Malah, akaun instagram STVV turut mencatat peningkatan dari segi jumlah pengikut dengan mendadak sehingga memaksa pengurusan kelab itu kemungkinan akan melantik jurubahasa Vietnam untuk berkomunikasi melalui laman sosial bersama peminat Chong Phuong.

“Kami perlu mencari keseimbangan di antara penyokong dari Belgium dan Vietnam,” kata Fiorenzo Mostien, pegawai komunikasi STVV dalam satu temubual bersama stesen TV Vietnam baru-baru ini.

Sint-Truiden VV kini menghuni kedudukan 12 dalam Liga Belgium selepas mengharungi tiga perlawanan. Mereka akan bertemu Antwerp pada hari Isnin minggu depan di tempat lawan.